Mari melancong ke Pahang

Mari melancong ke Pahang

Teks dan foto Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Rakyat Pahang digalak melancong dan memilih destinasi pelancongan di dalam negeri dalam usaha membantu industri
pelancongan Pahang yang terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Pahang Datuk Idros Yahya berkata, pemilihan Pahang sebagai
lokasi percutian akan membantu merancakkan pelancongan di negeri itu.
Katanya, berdasarkan statistik, sebanyak 60 peratus penurunan kedatangan pelancong di Cameron Highlands dan Janda Baik, Bentong selepas Lembah Klang yang kini dalam pelaksanaan PKPB.
“Dua destinasi pelancongan itu banyak bergantung kepada pelancong dari Lembah Klang.
“Penutupan pintu sempadan memberi kesan besar yang menyebabkan jumlah kedatangan pelancong mengalami penurunan mendadak hingga menjejaskan sektor pelancongan di Pahang,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pintu sempadan tidak ditutup secara menyeluruh di Pahang dan pelancong dari utara seperti Perak dan Pantai Timur iaitu Terengganu dan Kelantan serta Johor masih boleh melancong
ke negeri ini.
Katanya, kedatangan mereka akan membantu meningkatkan ekonomi setempat dan merancakkan sektor pelancongan di Pahang ketika Lembah Klang dalam pelaksaaan PKPB.
Justeru, beliau berkata, MOTAC Pahang mencadangkan pelancong luar dari Pahang yang tidak dikenakan pelaksanaan PKPB memilih Pahang sebagai desntinasi pelancongan mereka.
“Apa yang perlu dilakukan ialah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha menyekat
penularan Covid-19,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *