PBNP hukum Sumareh

PBNP hukum Sumareh

Helmy Abd Rahman
fikrahpahang@gmail.com
Foto Mustaffa Kamal

MOHAMADOU Sumareh digantung dua tahun daripada terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) selepas didapati bersalah melanggar terma kontrak yang ditandatanganinya.
Pemain naturalisasi pertama negara itu didapati bersalah atas empat pertuduhan seperti dilaporkan PBNP dan skuad Liga Super Pahang kepada jawatankuasa berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PBNP, Rizal Chek Hashim, berkata bagi pertuduhan pertama, Sumareh didapati bersalah melanggar artikel 4.11 kontrak pemain dan artikel 10.05 perlembagaan PBNP 2004 iaitu membuat kenyataan akhbar tanpa mendapat kebenaran PBNP.
“Pertuduhan kedua, dia (Sumareh) didapati bersalah melanggar artikel 6.6 kontrak pemain di mana merujuk perkara itu terus kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) (Disppute Resolution Chamber) tanpa terlebih dahulu kepada National Dispute Resolution Chamber Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Untuk pertuduhan ketiga, pemain itu didapati bersalah melanggar artikel 5.1 kontrak pemain di mana dia gagal menghadirkan diri ke sesi latihan bersama skuad Pahang bermula 3 Ogos hingga 28 Ogos 2020 manakala (pertuduhan) keempat, dia turut didapati bersalah melanggar artikel 5.1 kontrak pemain apabila gagal menghadirkan diri pada perlawanan Liga Super antara Pahang menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Kuantan pada 28 Ogos 2020,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan sesi pendengaran perbicaraan kes Sumareh di Kuantan, hari ini.
Kontroversi membabitkan Sumareh timbul apabila pemain itu dilaporkan tidak menyertai latihan bersama skuad Pahang kira-kira sebulan.
Ada pihak mendakwa bahawa Sumareh bertindak sedemikian berikutan masalah pembayaran gaji dengan PBNP.
Pemain itu yang kini beraksi di Liga Thailand bersama kelab Police Tero FC, juga didakwa sudah membatalkan kontrak bersama Tok Gajah dengan mengaktifkan klausa 8.7 dalam kontraknya.
Mengulas lanjut, Rizal berkata, berdasarkan kepada perkara 6 perlembagaan PBNP 2014 dan juga berdasarkan kepada kod tatatertib FAM (edisi 2015), jawatankuasa itu mengenakan hukuman dua tahun penggantungan daripada mengambil bahagian dalam aktiviti yang berkaitan dengan sukan bola sepak terhadap Sumareh bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun katanya, hukuman bagi keempat-empat pertuduhan itu dijalankan serentak.
“Kita akan maklumkan keputusan ini kepada FAM untuk dipanjangkan kepada pihak berkaitan.
“Sumareh diberi notis sebanyak dua kali bagi menjawab pertuduhan dan juga diminta untuk hadir bagi menjawab segala pertuduhan tetapi beliau memilih untuk tidak hadir,” katanya menambah, pertuduhan berkenaan dibuat dan melalui proses notis serta pendengaran seperti termaktub di dalam peruntukan undang-undang PBNP.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *