Semua dalam satu pakej

Semua dalam satu pakej

Teks dan foto Husin Ibrahim
fikrahpahang@gmail.com

BENTONG: Pepatah ‘muafakat membawa berkat’ masih menjadi rujukan penduduk Kampung Janda Baik apabila menubuhkan Persatuan Sahabat Alam Tampik Janda Baik (SATJB) bertujuan menyelaraskan kedatangan pelancong secara sistematik.
Persatuan ini muncul sebagai pelopor modul pelancongan berasaskan komuniti yang pertama di Semenanjung dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan.
Apa yang menariknya, mereka sepakat mengawal kedatangan pengunjung dan meletakkan harga untuk pakej percutian dan lawatan ke lokasi kunjungan orang ramai seperti di air terjun Tampik dan di kawasan lain.
Dengan kesepakatan ini, proses kunjungan pelancong dan kendalian pakej atau aktiviti lain diseragamkan termasuk tempat penginapan yang dipersetujui bersama oleh pengusaha chalet,resort serta inap desa.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri yang juga Pengerusi Pelancongan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, pelancongan berasaskan komuniti ini berjaya menyepadukan masyarakat setempat dan berkongsi hasil.
“Model modul operasi yang melibatkan penduduk ini merupakan bentuk operasi yang pertama di mana selalunya pusat pusat pelancongan sama ada penginapan atau tempat rekreasi seperti air terjun dan sebagainya diuruskan oleh syarikat atau individu .
“Hasil ekonominya yang diperoleh adalah untuk individu atau syarikat tersebut.
“Berbeza dengan Persatuan Sahabat Alam Tampik Janda Baik ini, di samping mereka menyediakan peluang pekerjaan untuk orang tempatan, hasil ekonominya atau keuntungan yang diperolehi akan di bahagikan sama rata kepada ahlinya yang merupakan penduduk tempatan,” katanya selepas Majlis Pelancaran SATJB dan Projek Eko Pelancongan Berasaskan Komuniti Kampung Janda Baik, di sini, baru baru ini.
Menurutnya, antara agensi yang terlibat ialah Pejabat Hutan Pahang, Pelancongan Pahang, Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang (MOTAC) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) serta pemain industri pelancongan tempatan seperti pengusaha penginapan Chalet Mama Papa di Janda Baik.
“SATJB menjadi contoh dari aspek pengurusan atau pengoperasian yang berada di bawah kawal selia penduduk setempat yang lebih sistematik.
“Mereka ini bukan sahaja bertindak mengawal selia kedatangan pelancong ke tempat ini, bahkan bertanggungjawab memajukannya di samping menjaga kelestarian alam semulajadi atau eko pelancongan.
“Di samping mengamalkan konsep ‘profit sharing’ atau keuntungan dikongsi bersama, mereka juga mengawal selia tempahan bilik penginapan dengan satu sistem tempahan semua hotel dan resort di kawasan yang dikawal selia.
“Sistem ini mempunyai jadual yang tersusun dan berterusan khusus kepada pengusaha pelancongan dan Pejabat Hutan Pahang pula mengeluarkan sijil penyewaan Hutan Simpan Tampik, secara tidak langsung turut memberi pendapatan kepada kerajaan negeri,” katanya.
Mohd Sharkar menambah, kebanyakan kawasan pelancongan di Janda Baik adalah milik perseorangan.
Beliau berkata, dengan penglibatan SATJB dalam tempoh sejak awal penubuhan tiga bulan lalu, ia memberi pulangan hampir RM40,000 kepada penduduk.
Jelasnya, model pengurusan atau pengendalian pusat pusat pelancongan seperti ini seharusnya menjadi asas pengurusan kawasan pelancongan untuk dicontohi penduduk atau komuniti di tempat lain.
Ianya amat menepati dasar kerajaan untuk memajukan pusat pusat pelancongan secara lestari, memelihara alam sekitar juga menyatupadukan masyarakat.
“Disamping menggalakkan pelancongan berasaskan komuniti atau community based tourism”, katanya.
Turut hadir adalah Pengurus Besar Pelancongan Pahang, Datuk Ishak Mokhtar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *