Belanjawan 2021: Agong nasihat Ahli Parlimen beri sokongan padu

Belanjawan 2021: Agong nasihat Ahli Parlimen beri sokongan padu

Helmy Abd Rahman
fikrahpahang@gmail.com

KUALA LUMPUR: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati semua ahli Dewan Rakyat untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan COVID-19.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Al-Sultan Abdullah menegaskan bahawa Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat, amat penting kepada Kerajaan dan pihak berkuasa khususnya golongan petugas barisan hadapan untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani ancaman pandemik berkenaan.
Sehubungan itu, beliau berkata, Al-Sultan Abdullah menyeru setiap ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihatnya untuk mereka menghentikansegera segala perbalahan politik, sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan.
“Seri Paduka Baginda mengingatkan ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi akan merugikan negara dan seluruh rakyat menjadi mangsa pada ketika negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman COVID-19,” katanya.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.
Dalam sesi menghadap yang berlangsung lebih sejam bermula 8 pagi ini, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima taklimat ringkas berkenaan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 6 November depan.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan supaya Belanjawan 2021 memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan COVID-19.
“Baginda turut menzahirkan keyakinan penuh kemampuan Tan Sri Muhyiddin untuk menerajui kepimpinan negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis,” katanya.
Mesyuarat pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan dan rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan Kerajaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *