Pemuda UMNO junjung titah Agong

Pemuda UMNO junjung titah Agong

Helmy Abd Rahman
fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Pergerakan Pemuda UMNO Pahang menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang mahukan semua pemimpin dan parti politik bekerjasama terutamanya bagi memastikan bajet 2021 diluluskan.
Ketuanya, Mohd Farid Mohd Nor, berkata keputusan baginda menolak pengisytiharan darurat seperti dicadangkan Kabinet juga boleh disifatkan amat tepat dan wajar.
“Kami berasakan Tuanku sudah mengambil kira semua aspek dan kesan kepada negara serta rakyat ketika baginda membuat keputusan menolak cadangan kabinet bagi darurat diisytiharkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya gembira dengan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada.
“Apa yang dimahukan rakyat hari ini adalah pembelaan buat mereka, bukan satu lagi krisis politik tanpa penghujung.
“Keputusan MKT ini juga membuktikan bahawa UMNO faham isyarat rakyat dan sanggup mengenepikan kepentingan parti demi memastikan nasib rakyat dapat dibela,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Farid berkata, pihaknya juga akur dengan ketetapan MKT yang ingin inisiatif Rekonsiliasi Nasional atau Agenda Perdamaian Nasional dilaksanakan segera.
“Untuk itu, keutamaan Pemuda (UMNO) Pahang ketika ini adalah memberi khidmat kepada mereka yang terjejas dan mengenepikan perbezaan fahaman politik sepanjang proses ini berlangsung,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *