75 bumbung rumah rosak akibat ribut

75 bumbung rumah rosak akibat ribut

Sebanyak 75 rumah mengalami kerosakan di bahagian bumbung selepas diterbangkan angin di Indera Mahkota Dua

Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Sebanyak 75 rumah mengalami kerosakan di bahagian bumbung selepas diterbangkan angin di Indera Mahkota Dua, di sini, malam tadi.
Kejadian hampir setengah jam bermula 7.30 malam turut menyebabkan kerosakan beberapa kenderaan yang ditimpa kayu dan dahan pokok yang patah termasuk seorang remaja yang menunggang motorsikal turut cedera ditimpa pokok tumbang.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang Zulkhairi Zainal Abidin berkata, siasatan pihaknya mendapati terdapat 75 rumah di Indera Mahkota Dua mengalami kerosakan terutama pada bahagian bumbung berikutan kejadian ribut dan angin kencang.


“Kita akan menyediakan bantuan yang sesuai kepada mangsa selepas siasatan dilakukan oleh pegawai JKM, saya difahamkan kejadian malam tadi adalah yang terburuk dalam tempoh 10 tahun,” katanya.
Mangsa Aziz Abdul Rahman, 58, berkata ketika kejadian dia berada di masjid mendengar ceramah agama sempena Maulidur Rasul yang terletak kira-kira 50 meter daripada rumahnya di lorong 2/47.
Menurutnya, rasa bimbang kejadian buruk berlaku apabila angin ketika itu begitu kuat, lebih menakutkan apabila siling masjid bocor disebabkan atap diterbangkan angin.
“Saya nekad meninggalkan masjid untuk pulang ke rumah bagi melihat keadaan persekitaran ketika itu, dalam keadaan hujan lebat saya melihat bumbung rumah saya sudah diterbangkan angin.Turut mengalami kerosakan beberapa rumah jiran.
“Air hujan memenuhi bilik dibahagian atas apabila siling pecah, keseluruhan bumbung rumah saya diterbang angin ke bahagian belakang rumah,” katanya, di sini hari ini.
Beliau berkata, kerugian dianggarkan RM2,000 apabila atap zink serta kayu yang rosak tidak boleh digunakan semula, banyak peralatan dan perabot dalam rumah basah.
Aziz yang bertugas dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPN) berkata, kejadian ribut dan angin kencang malam semalam merupakan kejadian kedua, kali pertama berlaku pada 2010 namun tidak menyebabkan kerosakan yang teruk.
Bagi Norizan Mohd Said, 56, ketika kejadian dia berada sendirian dalam bilik tingkat atas rumah selepas selesai solat, terdengar bunyi seolah letupan apabila bahagian bumbung rumah tercabut diterbangkan angin kencang.
“Saya hanya mampu berdoa berharap kejadian lebih buruk tidak berlaku terutama apabila melihat siling rumah saya pecah, cebisan simen dan batu bata bertaburan dalam bilik dan diatas tangga.Ketika itu air hujan mencurah-curah masuk ke dalam bilik.
“Saya segera menghubungi anak untuk mendapatkan bantuan suami yang ketika itu berada di masjid,” katanya yang menganggap kejadian yang berlaku ada hikmahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *