TNB Pahang rugi RM4.5 juta dalam tempoh 3 bulan

TNB Pahang rugi RM4.5 juta dalam tempoh 3 bulan

Angkara sindiket perlombongan mata wang bitcoin

Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Angkara sindiket perlombongan mata wang bitcoin yang rakus dengan membuat sambungan elektrik secara haram, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pahang kerugian lebih RM4.5 juta sepanjang Julai hingga September tahun ini.
Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Pahang, Rozianis Mohd Noor berkata, dalam operasi bitcoin bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) bulan lalu, pihaknya berjaya mengesan 29 premis bitcoin di daerah ini, Temerloh dan Bera.
Katanya, operasi dilakukan selepas mendapati sindiket terbabit aktif semula walaupun selepas beberapa kali premis mereka diserbu.
Menurutnya, pada bulan lalu, TNB mencatat kerugian kira-kira RM1.5 juta sebulan berikutan kegiatan sindiket perlombongan mata wang bitcoin yang membuat sambungan elektrik secara haram tanpa meter membabitkan lapan premis di Temerloh dan Bera termasuk 21 lokasi di daerah ini.


“Sepanjang tahun lalu, TNB Pahang menanggung kerugian lebih RM3.2 juta angkara perbuatan sindiket perlombongan mata wang bitcoin yang ketika itu baharu mula menapak di Pahang terutama di daerah ini.
“Bukti kesungguhan TNB Pahang membendung sindiket perlombongan mata wang bitcoin yang membuat sambungan elektrik secara haram tanpa meter ialah dengan cara melakukan operasi secara berterusan, dalam tempoh sembilan bulan tahun ini sebanyak lima operasi berjaya dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama dengan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain akan terus dilakukan dalam memastikan kegiatan terbabit dapat dilumpuhkan sepenuhnya secara berperingkat suatu hari nanti.
Rozianis berkata, kuasa merampas barangan serta peralatan yang ada pada PBT dapat menyekat sendikit terbabit daripada terus beroperasi secara haram hingga menyebabkan TNB menanggung kerugian besar setiap tahun.
Katanya, pada operasi bitcoin di daerah ini pihaknya menemui premis bitcoin dibangunan perniagaan terletak di Fajar Jaya, Gambang, Jaya Gading, Kemunting dan Balok. Ketika serbuan dilakukan semua premis tiada penjaga.
“Kini terdapat pelbagai cara digunakan sindiket perlombongan mata wang bitcoin yang membuat sambungan elektrik secara haram tanpa meter, selain menebuk lantai dan dinding mereka juga menggunakan kotak alat penggera untuk mengadakan sambungan wayar.
“TNB Pahang kini mempunyai unit khas yang bertanggungjawab membenteras kegiatan terbabit daripada terus beroperasi, selain melakukan serbuan dan pemotongan bekalan elektrik kita juga dari semasa ke semasa memantau lokasi panas di semua daerah.
“Kegiatan perlombongan bitcoin membabitkan penggunaan rangkaian komputer berkuasa tinggi dan beroperasi 24 jam, bagi mengelak membayar bil yang tinggi mendorong pihak terbabit mencuri bekalan elektrik dengan cara membuat sambungan haram tanpa meter,” katanya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *