Tidak perlu ungkit pasal darurat: Mohamad Hasan

Tidak perlu ungkit pasal darurat: Mohamad Hasan

Helmy Abd Rahman
fikrahpahang@gmail.com

KUALA LUMPUR: Pengisytiharan darurat bukanlah pilihan terbaik membabitkan pengendalian Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ketika ini.
Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan, berkata walaupun beliau memahami kebimbangan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan perutusan khas petang semalam, pengisytiharan darurat sebagai alasan dan cara untuk menangguhkan PRK dan PRN itu disifatkannya tidak perlu.
“Umum mengetahui bahawa BN (Barisan Nasional) tidak akan bertanding di Batu Sapi dan gesaan saya ialah parti-parti lain juga memberikan laluan kepada WARISAN (Parti Warisan Sabah) bagi bertanding di Parlimen Batu Sapi tanpa dicabar sebagai menghormati mendiang Datuk VK Liew, bekas Ahli Parlimen Batu Sapi dan mengelakkan pilihanraya kecil diadakan waktu ini.
“Jika persefahaman sebegini boleh diusahakan, kita boleh memberi laluan kepada WARISAN dalam PRK Batu Sapi sebagai permuafakatan nasional mengurangkan impak pandemik COVID-19 kepada masyarakat dan jika ini berlaku, PRK Batu Sapi tidak diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Bagi PRN Sarawak pula, katanya, tempoh matang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ialah 7 Jun 2021 dan jika kerajaan negeri berkenaan berkhidmat sehingga tamat tempoh itu, PRN Sarawak boleh diadakan pada Ogos 2021.
“Bayangkan implikasi darurat jika diisytiharkan…hanya untuk mengelakkan PRN Sarawak sedangkan ia boleh diadakan paling lewat 10 bulan akan datang.
“Saya amat meyakini kebijaksanaan YAB Ketua Menteri Sarawak (Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg) dan pastinya beliau akan membuat keputusan terbaik dengan mengambil kira pelbagai dimensi kepentingan umum sebelum membubarkan DUN Sarawak.
Menurutnya, Malaysia mempunyai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bebas dan mampu mengendalikan pilihanraya dalam keadaan apa sekalipun sesuai keperluan perlembagaan.
“Malaysia adalah sebuah demokrasi yang berfungsi dengan baik dan mesti terus berfungsi dalam keadaaan paling getir sekalipun.
“Justeru, semua pihak mesti menghormati kearifan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong untuk menolak darurat, mempertahankan perlembagaan dan mengiktiraf pencapaian baik Kerajaan mengawal pandemik waktu ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *