Benarkan pengeluaran KWSP secara ‘one-off’

Benarkan pengeluaran KWSP secara ‘one-off’

Helmy Abd Rahman
fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Kerajaan boleh memperhalusi cadangan membenarkan pengeluaran caruman daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan mensyaratkan kegunaannya hanya untuk membayar hutang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata kerajaan wajar memberi kelonggaran khususnya kepada rakyat yang benar-benar dihimpit kesusahan ketika ini.
“Bukan semua rakyat layak memperoleh lanjutan moratorium bersasar sehingga Disember ini. Atas sebab itu, biarpun bayaran bulanan dikurangkan, mereka masih lagi terbeban kerana keadaan ekonomi rakyat belum pulih.
“Sehubungan itu, saya mencadangkan supaya kerajaan membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1 KWSP hanya untuk tujuan membayar pinjaman sama ada rumah, kenderaan atau pinjaman peribadi,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak mencadangkan supaya kerajaan membenarkan pengeluaran duit dengan menghadkan pengeluaran secara one-off sehingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP bagi kegunaan rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Mengulas lanjut, Mohd Sharkar yang juga EXCO Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang berkata, seandainya langkah berkenaan dilaksanakan, simpanan yang dibenarkan dikeluarkan itu akan kembali kepada bank, sekali gus digunakan untuk meringankan bebanan kewangan rakyat dan akan disalurkan kepada bank untuk mengurangkan jumlah pinjaman.
“Rata-rata dalam kalangan rakyat tentunya mahu kerajaan melaksanakan cadangan ini kerana bagi pencarum, duit yang mahu dibawa keluar itu adalah duit mereka,” katanya.

#kwsp #pahang #covid19

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *