Bercucuk tanam di masjid

Bercucuk tanam di masjid

Mohd Imran Izzad

fikrahpahang@gmail.com

PEKAN: Memanfaatkan ruang dalam kawasan masjid menjadi ilham Biro Keceriaan Masjid Kampung Pulau Serai, di sini, mengusahakan projek tanaman sayur menggunakan sistem fertigasi.
Projek printis itu mengusahakan 529 pokok dengan tanaman timun, terung dan petola membabitkan modal RM4,500.
Pengerusi Biro Keceriaan Masjid Kampung Pulau Serai, Mohamad Nazri Sidek, 58 berkata, projek yang diusahakan awal tahun ini kini mengeluarkan hasil secara berperingkat, pengeluaran hasil setiap hari antara 30 hingga 45 kilogram (kg).


Menurutnya, tiga jemaah masjid secara sukarela bertugas sepenuh masa menguruskan projek berkenaan membabitkan kawalan air siraman, meracun dan pemasaran.
“Kerjasama jamaah lain dibantu seorang tenaga mahir, Wan Abdul Samad Wan Hasan yang pakar dalam bidang pertanian sistem fertigasi menjadi pencetus kejayaan yang diraih hari ini.
“Untuk menjimatkan kos, bekalan air bawah tanah digunakan sepenuhnya, beberapa peralatan juga disumbangkan oleh beberapa jemaah masjid,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya tidak berhadapan masalah untuk memasarkan timun, terung dan petola. Permintaan menggalakan penduduk setempat menyebabkan hasil pertanian berkenaan tidak mencukupi.
Mohamad Nazri berkata, setiap minggu hasil jualan mencecah RM600 dan jumlahnya dijangka terus bertambah dalam tempuh sebulan sebelum proses rehat selama seminggu hingga dua minggu seterusnya penanaman semula dilakukan.
“Kita bercadang untuk meluaskan lagi projek pertanian dalam kawasan masjid ini, bagaimanapun ia perlu mendapat persetujuan daripada pihak masjid,” katanya yang berpuas hati dengan kejayaan projek pertanian diusahakan.
Bagi Musa Razali, 62, setiap hari dia meluangkan masa antara dua hingga empat jam bagi menguruskan projek tanaman sayur berkenaan, tugas utama dilakukan mengawal sistem siraman, membersih kawasan dan menjual hasil.
“Masa terluang digunakan sepenuhnya berada di kebun, rasa puas dan seronok setiap kali menguruskan pokok yang kini sedang mengeluarkan hasil,” katanya yang juga pesara Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *