Dato’ Dr Zulkefli Ali Al Hafiz dilantik Pengarah JAIP yang baharu

Dato’ Dr Zulkefli Ali Al Hafiz dilantik Pengarah JAIP yang baharu

Dato’ Sri Syed Ibrahim berharap Zulkifle dapat meneruskan usaha murni kerajaan negeri memartabatkan institusi agama di Pahang

Helmy Abd Rahman
fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad mengucapkan tahniah kepada Dato’ Dr Zulkifle Ali Al-Hafiz di atas pelantikannya sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yang baharu bagi menggantikan Dato’ Syed Ahmad Fuad Syed Taha.
Dr Zulkifle sebelum ini memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maahad Tahfiz Negeri Pahang.
Syed Ibrahim berkata, beliau berharap dengan pelantikan itu, Zulkifle dapat meneruskan usaha murni kerajaan negeri memartabatkan institusi agama di negeri ini dengan sebaik-baiknya.
“JAIP adalah sebuah institusi agama Islam yang dipayungi sendiri KDYMM Sultan Pahang. Maka dengan pelantikan ini saya berharap Zulkifle meneruskan usaha kerajaan Pahang mengangkat institusi agama ke peringkat yang tinggi.
“Saya yakin, dengan pengalaman yang ada pada Zulkifle selaku CEO Maahad Tahfiz Pahang yang mencatatkan banyak kejayaan, beliau mampu menggalas amanah ini dengan sebaiknya, tambahan pula beliau seorang agamawan dan seorang hufaz lepasan Maahad Qiraat Al Azhar Syubra di Kaherah, Mesir,” katanya.
Syed Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, berkata meskipun skop dan tanggungjawab selaku Pengarah JAIP lebih besar, ia bukan halangan untuk memastikan JAIP terus maju.
“Banyak tugasan menanti Zulkifle dan saya amat mengalu-alukan kehadirannya serta berharap beliau dapat menyempurnakan tugas baharu ini dengan cemerlang,” katanya.
Dr Zulkifle menerima watikah pelantikan beliau daripa Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Salehuddin Ishak di Kuantan, hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *