Kerajaan Pahang hulur bantuan

Kerajaan Pahang hulur bantuan

Mangsa ribut di Perumahan Pasdec Makmur Indera Mahkota 2

Mohd Izzad

KUANTAN: Kerajaan Pahang melalui Tabung Bencana Negeri akan menyalurkan bantuan kepada mangsa ribut di Perumahan Pasdec Makmur Indera Mahkota 2, di sini, selepas rumah mereka mengalami kerosakan akibat ribut.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda berkata, setakat semalam, sebanyak 101 rumah dilaporkan mengalami kerosakan dalam kejadian ribut itu.
Sehubungan itu, beliau meminta mangsa ribut bersabar dan pihaknya akan menyegerakan bantuan kewangan itu secepat mungkin.
“Senarai nama mangsa ribut sudah diperolehi dan jumlah bantuan akan diumumkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Setakat ini, antara bantuan awal yang diterima mangsa ribut adalah melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu pahang (MUIP) dan Ahli Parlimen Indera Mahkota.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira 7.30 malam, Jumaat lalu, kawasan Perumahan Pasdec Makmur Indera Mahkota 2 dilanda ribut yang menyebabkan 101 rumah mengalami kerosakan.
Kejadian itu mendapat perhatian Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *