Anak Pahang bolot Anugerah Perdana Belia Negara 2020

Anak Pahang bolot Anugerah Perdana Belia Negara 2020

Helmy Abd Rahman
fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Kesungguhan dan ketekunan belajar mengenai kepimpinan secara berterusan sepanjang tempoh kira-kira 20 tahun membolehkan dua anak Pahang ini mencatat sejarah muncul sebagai penerima Anugerah Perdana Belia Negara 2020 bagi kategori lelaki dan perempuan.
Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid dan Nurliana Muhammad, masing-masing berusia 31 tahun, menerima anugerah disampaikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Johor Bahru, Ogos lalu.


Mohd Izzat Afifi yang juga Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), berkata beliau bermula dalam persatuan belia sejak hampir 20 tahun lalu dan amat bersyukur dengan anugerah diterima.
“Segala latihan pembangunan diri dan kepimpinan saya pelajari dari peringkat bawah dan yang penting adalah konsistensi untuk terus menimba ilmu.
“Ramai anak muda dan belia sekarang inginkan kejayaan segera, semua nak cepat sedangkan kita nak sampai ke peringkat ini ambil masa hampir 20 tahun,” katanya selepas majlis penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara 2020 Peringkat Negeri Pahang yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur di sini, hari ini.
Kedua-dua tokoh itu yang turut menjadi johan kategori lelaki dan perempuan dalam Anugerah Perdana Belia Negara 2020 Peringkat Negeri Pahang, masing-masing menerima piala iringan, sijil penghargaan dan wang tunai RM10,000 sumbangan kerajaan Pahang serta RM3,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan.
Sementara itu bagi Nurliana, dia mula bergiat aktif dalam pelbagai program kepimpinan, motivasi, kesukarelawan, kesukanan dianjurkan pihak sekolah sejak berusia sembilan tahun.
“Saya lebih tertarik mengikuti program-program ini daripada membuang masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah dan sepanjang mengikuti pelbagai program dianjurkan pihak kerajaan atau swasta, saya menyedari bahawa setiap manusia adalah anugerah yang paling berharga dan mempunyai potensi tersendiri yang wajar digilap sejak usia muda,” katanya.
Menurutnya, suasana membesar dalam kalangan rakan yang mempunyai latar belakang keluarga bermasalah antaranya terbabit dengan gejala dadah, kaki ponteng, mat rempit dan perceraian menguatkan keazamannya untuk menolong golongan terbabit.
“Keadaan ini membuatkan saya terfikir golongan muda yang bakal mewarisi negara perlu didekati serta diberikan kesedaran,” ujar EXCO MBM berkenaan.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, negeri ini berbangga apabila buat pertama kali dalam sejarah, dua anugerah terbabit dibolot anak Pahang dalam satu masa.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *