Penjaja perlu patuh arahan PBT

Penjaja perlu patuh arahan PBT

Husin Ibrahim
fikahpahang@gmail.com

KUANTAN: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak pernah bertindak zalim terhadap peniaga terutama penjaja yang beroperasi secara meluas di kawasan tertentu.
Pengerusi Jawatan Kuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang Datuk Abd Rahim Muda, berkata sebaliknya apa yang sebenarnya berlaku adalah pihak penguatkuasa bertindak mengikut lunas undang undang.
Abd Rahim berkata, PBT sentiasa mengutamakan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat akan tetapi matlamat seperti itu perlukan kerjasama pihak lain.
Beliau memberi contoh apa yang dianggap sebagai tindakan zalim oleh pihak kerajaan tempatan apabila gerai atau warung yang beroperasi yang diarahkan tutup.
“Kita faham dengan usaha mereka membuka gerai makanan di tepi jalan adalah untuk mencari pendapatan.
“Akan tetapi kalau lokasi gerai mereka tidak sesuai yang menyusahkan pengguna jalanraya, menyebabkan kesesakan lalu lintas, mungkin akan menyebabkan kemalangan, tak mustahil untuk pihak kami tidak membenarkan operasi perniagaannya diteruskan,” katanya selepas mempengerusikan Majlis Sesi Townhall bersama Ahli Majlis PBT di Dewan Utama, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), di sini.
Abd Rahim berkata, kerajaan amat prihatin dengan nasib rakyat kesan daripada Covid 19 yang mengakibatkan ramai yang hilang pekerjaan tetap sehinggakan mereka terpaksa berniaga kecil kecilan untuk mencari nafkah.
Hal ini menyebabkan gerai dan warung tumbuh di merata tempat bagai cendawan selepas hujan.
Abd Rahim berkata, apa yang penting peniaga ini mempraktikkan apa yang sepatutnya seperti tidak membuka gerai di kawasan persimpangan, sentiasa menjaga kebersihan, ada sifat bertanggungjawab dengan sensitiviti masyarakat setempat dan sebagainya.
Beliau berkata keadaannya mestilah dalam suasana ‘win-win situation’ di mana mereka boleh terus berniaga dengan tidak menimbulkan masaalah kepada orang lain dan PBT tidak menerima aduan tentang kegiatan perniagaan mereka.
Menurut Abd Rahim, kerajaan akan mengenakan syarat tertentu untuk pemilik atau pengusaha rumah inap desa (homestay) untuk mereka boleh terus beroperasi.
“Seeloknya mereka mendaftar premis mereka sebagai premis atau bangunan untuk perniagaan sebab asalnya rumah atau bangunan itu adalah tempat tinggal mereka.
“Apabila mereka menjadikan ianya sebagai inap desa dengan mengambil bayaran daripada pelanggan sebagai pendapatan, maka secara maklumnya adalah perniagaan.
“Maknanya secara persefahamannya, layaklah mereka dikenakan sedikit bayaran oleh pihak kerajaan tempatan,” ujarnya.
Terdahulu, pada majlis itu, Abd Rahim turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Majlis Kerajaan Tempatan Yang Paling Bahagia iaitu MPK dan Majlis Perbandaran Bentong.
Difahamkan kriteria sebagai majlis kerajaan tempatan paling bahagia antara lain menyediakan pelbagai kemudahan asas kepada warganya di samping memuaskan hati mereka dan pelancong luar seperti kemudahan tempat rekreasi, kemudahan awam, kawasan yang mempunyai daya tarikan yang tersendiri untuk dikunjungi dan bermanfaat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *