Sukarelawan pastikan aktiviti pendakian di Pulau Seri Buat lebih selamat

Sukarelawan pastikan aktiviti pendakian di Pulau Seri Buat lebih selamat

H: Sukarelawan pastikan aktiviti pendakian di Pulau Seri Buat lebih selamat

Husin Ibrahim
fikrahpahang@gmail.com

Rompin: Demi berbakti kepada masyarakat, seramai 12 sukarelawan menzahirkan komitmen mereka dengan memasang tali pendakian di Pulau Seri Buat, di sini, baru-baru ini.
Misi itu susulan keluhan pengunjung yang berasa kurang selamat ketika mendaki bukit di pulau terbabit berikutan tali sedia ada dilihat sudah reput.
Menurut Pengurus Besar Pejabat Pelancongan Pahang Datuk Ishak Mokhtar, pihaknya bimbang akan dipersalahkan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.


“Pulau Seri Buat memang terkenal dan sering dikunjungi pelancong kerana dari puncaknya akan kelihatan pemandangan panorama yang indah di Pulau Tioman.
“Oleh kerana itu, tali pendakian perlu ditukar baru untuk keselamatan semua pendaki yang lain pada masa akan datang,” katanya.
Terdahulu,berbekalkan tali nylon sepanjang 98 meter, sukarelawan diketuai Pengurus Al Muneer Travel, Mohd Amirizuan Ahmad menjadikan misi di Pulau Seri Buat.
Pendakian agak mencabar walaupun ketinggiannya cuma melebihi 100 meter tetapi kecerunannya antara 35 darjah dan 55 darjah.
Semua 12 sukarelawan terdiri daripada wartawan dan jurukamera Kelab Media Pahang, agen pelancongan dan kakitangan kerajaan.
Misi ini agak mencabar apabila bot membawa barang dan peralatan pemasangan tali tidak dapat mendekati pantai kerana air surut.
Ditambah pula dengan angin kuat dan ombak besar menyebabkan bot terumbang ambing.
Namun, demi misi yang perlu disiapkan pada hari sama, sukarelawan terpaksa membawa gelung tali seberat 40 kilogram menggunakan pelampung dan berenang ke pantai.
Salah seorang sukarelawan, Wan Faridudin Wan Ibrahim berkata, tali pendakian sebelum ini diikat pada batang pokok renek yang sudah uzur atau reput.
“Ianya boleh mendatangkan risiko kepada pendaki terutama kepada yang hanya berharapkan kekuatan tali, padahal talinya sudah reput,” katanya.
Dalam pada itu, Pulau Seri Buat antara pulau tercantik di Pahang yang menjadi tumpuan pelancong terutama dari Singapura.
Walaupun terletak dalam perairan Pahang, namun ramai pengunjung tiba melalui jeti Tanjung Penyabung, Endau, Johor.
Ini disebabkan lokasi Pulau Seri Buat berdekatan dengan Tanjung Penyabung dengan perjalanan bot lebih kurang 30 minit berbanding 40 minit sekiranya melalui jeti Tanjung Gemuk, Rompin.
Pulau Seri Buat adalah pulau terbesar dalam gugusan pulau di sekitar perairan Pahang seperti Pulau Sembilang, Pulau Raja, Pulau Acheh, Pulau Layak, Pulau Tunus, Pulau Nyior dan beberapa pulau lain.
Sementara itu, Ishak berkata, pihaknya sedang menggiatkan usaha mempromosi Pulau Seri Buat dengan pakej percutian menarik.
“Sekurang-kurangnya pada masa akan datang, penduduk tempatan mendapat limpahan ekonomi hasi daya tarikan pulau ini dengan adanya aktiviti atau pakej pelancongan yang dirancangkan,” katanya.

Ends/razlan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *