Pengecualian cukai bantu rancakkan sektor pelancongan domestik

Pengecualian cukai bantu rancakkan sektor pelancongan domestik

Husin Ibrahim
fikrahpahang@gmail.com

Pekan: Kerajaan diminta meneliti semula peruntukan berkaitan pelancongan berjumlah RM50 juta disebabkan jumlah itu tidak mencukupi untuk kegunaan di semua 14 negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, pemain industri pelancongan sekarang ini menghadapi masalah perniagaan yang serius disebabkan pandemik Covid-19.
Mohd Sharkar berkata, mereka perlu dibantu dalam banyak aspek seperti pengecualian cukai kerana mereka merupakan kumpulan yang memperoleh pendapatan berasaskan perniagaan harian.
“Mereka tergolong dalam ‘daily earners’ atau pendapatan harian di mana kalau ada jualan maka akan ada pendapatan.


“Sedangkan di musim Covid-19 ini, mereka kehilangan pelanggan. Kalau pengusaha hotel, mereka kehilangan penginap bilik, kalau pengusaha bas pelancongan mereka kehilangan tempahan pakej perjalanan dan sebagainya, ” katanya selepas merasmikan Program Pemantauan Tasik Chini dan Sambutan Hari Alam Sekitar 2020 Peringkat Negeri Pahang di Tasik Chini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pahang, Sani Mat Daud.
Mohd Sharkar berkata, sepatutnya beberapa insentif perlu diberikan kepada orang ramai yang merupakan pelanggan kepada industri pelancongan seperti cukai pendapatan akan dikurangkan sekiranya mereka melancong di dalam negara.
Beliau berkata, sebagai contoh pengesahan mereka melancong dalam negara adalah melalui resit penginapan di hotel dan sekiranya ini berlaku, mereka dikecualikan daripada cukai pendapatan.
“Sekiranya ada insentif seperti ini akan menggalakkan lagi orang ramai supaya melancong, menggunakan masa percutian mereka untuk menginap di hotel atau resort dan ini akan membantu pengusaha hotel untuk memperoleh pendapatan,” katanya.
Mohd Sharkar juga berkata, industri pelancongan merupakan penyumbang keempat terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK).
Beliau juga berkata, di pihak kerajaan negeri, memang banyak memerlukan kewangan untuk membantu promosikan produk produk pelancongan dalam negeri untuk pembantu pemain industri ini.
Katanya, bantuan bukan hanya untuk menyediakan fasiliti tertentu bahkan juga untuk memajukan produk sedia ada dan memperkenalkan produk baru sebagai daya tarikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *