COVID-19: Kerajaan negeri pertimbang tutup sekolah agama di Pahang seiring arahan Pusat

COVID-19: Kerajaan negeri pertimbang tutup sekolah agama di Pahang seiring arahan Pusat

Helmy Abd Rahman
fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Kerajaan negeri sedang meneliti sama ada akan melaksanakan arahan supaya sekolah agama rakyat dan swasta di negeri ini ditutup bagi membendung penularan COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata ia susulan kenyataan Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin yang mengarahkan penutupan semua sekolah bermula esok sehingga 17 Disember ini atas alasan keselamatan dan kesihatan pelajar serta warga pendidik.
“Kerajaan Pahang dengan persetujuan Menteri Besar (Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) bersetuju meminta JAIP (Jabatan Agama Islam Pahang) menerusi Bahagian Pendidikannya meneliti dan mempertimbangkan untuk melaksanakan arahan sama di sekolah agama kerajaan negeri dan sekolah agama rakyat serta swasta.
“Langkah ini juga seiring dengan ketetapan Kerajaan Persekutuan dalam menangani penularan Covid-19. Bagaimanapun, arahan selanjutnya akan diteliti dari semasa ke semasa melalui JAIP,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Syed Ibrahim berkata, Menteri Besar juga meminta JAIP dan pihak ibu bapa mengambil anak-anak mereka bermula esok (9 November).
“Kita harap ia dilakukan dengan cara teratur supaya tidak berlaku kesesakan. Mungkin elok diaturkan jadual bergilir bermula Tingkatan 1 dan 2 antara jam 9 ke 10 pagi. Tingkatan 3 dan 4 (10.30 ke 11.30 pagi) dan 5 dan 6 (12 tengah hari ke 1 petang).
“Pun begitu, ia tertakluk kepada budi bicara pengetua, namun SOP (prosedur operasi standard) dan keselamatan pelajar serta warga didik mestilah diutamakan,” katanya.
Mengulas peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA), katanya, pihak JAIP diminta membuat penelitian dan pelaksanaan arahan bersesuaian dengan arahan Kementerian Pendidikan.
“Pembelajaran online atara guru wajar dilaksanakan dan mestilah mendapat pemantauan oleh JAIP dan sekolah supaya semua pelajar tidak ketinggalan dan mampu menguasai pembelajaran ketika dilaksanakan peperiksaan.
“Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan untuk menghubungi pihak sekolah bagi memastikan waktu dan masa sesuai untuk hadir mengambil anak masing-masing,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *