Wakil Rakyat Padang Tengku pakar kuih dan juadah tradisional Pahang.

Wakil Rakyat Padang Tengku pakar kuih dan juadah tradisional Pahang.

Muhammad Najmie
fikrahpahang@gmail.com

KUALA LIPIS: Kehebatan bakat memasak kuih dan juadah tradisional yang ditunjukkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tengku, Dato’ Mustapa Long, melalui laman sosial Facebook ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, menjadikan beliau kini cukup popular di kalangan kaum wanita di daerah Lipis.

Malah, wakil rakyat itu berkata, beliau kini mendapat banyak jemputan untuk membuat demonstrasi membuat kuih dan juadah tradisional daripada pelbagai pertubuhan wanita di daerah berkenaan.

“Tidak sangka sungguh, ramai pula yang ingin belajar daripada saya cara membuat kuih dan juadah berkenaan, sehingga saya rasa macam chef terkenal pula apabila banyak jemputan daripada kumpulan wanita meminta saya membuat demonstrasi dan mengajar mereka membuat kuih tradisional, ” katanya.

Menurutnya, semua itu bermula ketika PKP yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu apabila beliau ingin mengajak orang ramai duduk di rumah dengan melakukan aktiviti berfaedah seperti membantu isteri di dapur sekali sekala, kerana kaum isteri juga ingin merasa air tangan suami sekali gus ia dapat mengeratkan hubungan suami isteri dan keluarga.

Katanya sebagai wakil rakyat, beliau mesti menunjukkan teladan kepada masyarakat cara mengisi masa lapang berfaedah dengan mengasah semula bakatnya yang terpendam iaitu menyediakan pelbagai jenis kuih dan masakan kampung dan memaparkannya dalam bentuk video di laman Facebook.

“Saya hanya mahir membuat kuih dan masakan orang dulu-dulu sahaja, tetapi kuih dan masakan moden saya tidak pandai.

“Tiada rahsia apa pun. Sebenar saya belajar daripada arwah emak sejak di sekolah rendah lagi kerana saya sering membantu emak membuat kuih tradisi kerana dia seorang penjual kuih tradisional Pahang di pekan sehari Padang Tengku iaitu di tapak Sekolah Menengah Agama Padang Tengku sekarang ini,” katanya

Mustapa berkata, sebagai anak jati Kampung Gua, Padang Tengku, memasak bukanlah perkara yang asing bagi kanak-kanak zaman dahulu kerana ibu bapa sibuk bekerja.

Malah katanya, sebelum memasak menu yang mudah dan menyelerakan, kanak-kanak terpaksa mencari kayu api dahulu kerana tiada dapur gas dan eletrik ketika itu.

Beliau berkata, hari ini beliau dijemput oleh kaum ibu bagi mengadakan demonstrasi memasak sempena Program Pendidikan Kesejahteraan Keluarga KEMAS Daerah Lipis di Kampung Dusun, Mukim Kechau, Padang Tengku.

Katanya, beliau tetap memenuhi undangan itu walaupun di dalam hati terasa seperti mengajar itik berenang kerana berhadapan dengan kaum wanita yang memang pandai memasak.

Menurutnya, beliau membuat demonstrasi memasak tiga jenis juadah iaitu dodol kukus, air asam ikan tawar (campuran tempoyak, terung dan isi ikan) serta pencok terung.

Selain dodol kukus, Mustapa mengaku boleh membuat kuih onde-onde gula kabung, batang buruk versi Lipis, kuih koci, kuih dokoh (lepat liat), penganan talam dan serabai golong.

Seorang peserta, NorAzizah Ahmad Nazri berkata, beliau dan rakan-rakan berasa sungguh bertuah kerana mempunyai wakil rakyat yang serba boleh termasuk memasak.

“Saya pernah makan dodol kukus hasil dari air tangan YB dan ternyata sungguh enak dan lain daripada yang dimasak generasi sekarang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *