Maahad tahfiz dan sekolah pondok di Pahang dibenar beroperasi dengan bersyarat

Maahad tahfiz dan sekolah pondok di Pahang dibenar beroperasi dengan bersyarat


Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kerajaan negeri membuat keputusan membenarkan maahad tahfiz dan sekolah pondok di negeri ini terus beroperasi, namun pelajar tidak dibenarkan keluar dari kawasan sekolah.
Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata bagi guru dari luar Pahang khususnya zon merah, mereka tidak dibenarkan kembali ke maahad atau sekolah untuk mengajar.
“Keputusan ini bergantung kepada keadaan dan seandainya terdapat sahaja kes jangkitan baharu di maahad atau sekolah ini, maka arahan berhenti operasi akan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Wan Rosdy mengarahkan pihak berkaitan melaksanakan langkah pencegahan sewajarnya bagi membendung penularan COVID-19 meskipun negeri ini tidak tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Langkah itu antaranya membabitkan sekatan jalan raya (SJR) di lokasi tertentu oleh pihak berkuasa diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) mulai 11 November ini.
“Ini bagi menyekat berlakunya rentas sempadan negeri terutama dari kawasan zon merah ke negeri ini.
“Sungguhpun kita bersyukur kerana Pahang satu daripada tiga negeri yang tidak tertakluk kepada PKPB, langkah ‘pre-emptive’ bertujuan membendung penularan pandemik COVID-19 di negeri ini akan terus dilakukan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihak berkuasa tetap memberi kelonggaran bagi kes-kes tertentu antaranya kecemasan dan kematian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *