Nelayan perlu berhati-hati sepanjang musim tengkujuh

Nelayan perlu berhati-hati sepanjang musim tengkujuh

Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang mengingatkan nelayan supaya tidak turun ke laut sekiranya keadaan laut tidak menentu sepanjang musim
Monsun Timur Laut yang mula melanda negeri ini.
Pengarahnya Abdullah Jaafar, berkata nelayan yang tetap ingin turun ke laut pada musim tengkujuh terlebih dahulu perlu mendapatkan maklumat semasa keadaan cuaca dan laut daripada Jabatan Meteorologi Malaysia.
Menurutnya, untuk mendapatkan maklumat keadaan cuaca, nelayan juga boleh menghubungi Jabatan Perikanan Pahang yang akan berkongsi maklumat semasa.
Katanya, perbuatan turun ke laut tanpa mendapatkan sebarang maklumat semasa berkaitan keadaan cuaca dan laut boleh mengundang kejadian yang tidak diingini, banyak kes sebelum ini nelayan berhadapan detik cemas ketika menangkap ikan di laut.
“Saya menasihatkan nelayan supaya lebih berhati-hati dan sentiasa mengambil langkah keselamatan sepanjang musim tengkujuh ini, mereka terdedah dengan angin kencang serta ombak kuat.
“Cuaca di laut boleh berubah tanpa diduga, kejadian tidak diingini boleh berlaku berikutan Monsun Timur Laut,” katanya, dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, laut terbuka perairan negeri ini menyukarkan nelayan untuk berteduh dan menyelamatkan diri sekiranya berlaku kejadian angin kencang serta ombak besar, pengalaman luas sebagai nelayan tidak bermakna mereka mampu mengharungi setiap dugaan.
Abdullah menambah, nelayan yang turun ke laut pada musim tengkujuh ini, mereka perlu sentiasa menyediakan peralatan keselamatan seperti ditetapkan dalam syarat lesen.
Katanya, antara peralatan perlu ada ialah jaket keselamatan dan pelampung, bos mereka juga dilengkapi dengan Sistem Pengesanan Global (GPS) serta alat perhubungan radio.
“Nelayan juga dinasihatkan peka dan sentiasa merujuk kepada laporan kaji cuaca daripada Jabatan Meteorologi menerusi www.met.gov.my dari semasa ke semasa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *