Kerajaan Pahang sumbang RM140,000 kepada mangsa ribut

Kerajaan Pahang sumbang RM140,000 kepada mangsa ribut

Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Kerajaan Pahang melalui Tabung Bencana Negeri memperuntukkan RM140,000 kepada 99 mangsa ribut di Indera Mahkota 2.
Menteri Besar Dato’ Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan itu membabitkan 41 mangsa yang menerima RM2,000 seorang bagi kategori rumah rosak teruk manakala 58 mangsa lagi menerima RM1,000 seorang bagi kategori rumah rosak minima.
Sehubungan itu, beliau mengharapkan bantuan berkenaan dapat meringankan beban ditanggung mangsa selepas rumah mereka mengalami kerosakan.
“Sebelum ini bantuan awal dihulurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberi sumbangan tikar, selimut dan alatan kebersihan diri.
“Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut memberi makanan kepada semua mangsa ribut,” katanya selepas menyampaikan bantuan di Dewan Indera Mahkota 2, di sini hari ini.
Terdahulu, pada jam 7.30 malam, 29 Oktober lalu, kawasan Indera Mahkota 2 dilanda ribut yang menyebabkan 99 rumah mengalami kerosakan.
Kejadian itu mendapat perhatian Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *