Sektor pelancongan mula ‘nazak’ akibat PKP terlalu panjang

Sektor pelancongan mula ‘nazak’ akibat PKP terlalu panjang

Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kerajaan pusat perlu lebih giat membantu industri pelancongan dan perhotelan yang ketika ini berdepan cabaran hebat berikutan penularan pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata walaupun kerajaan negeri sentiasa membantu industri berkenaan sedaya mungkin, ia tidak mencukupi apatah lagi segala cukai berkaitan dikutip kerajaan pusat.
Beliau berkata, industri terbabit mempunyai kos operasi yang tinggi dan tanpa bantuan daripada kerajaan pusat, tidak mustahil ia akan terkubur.
“Kita ambil contoh bas persiaran, nak kena bayar tapi moratorium dah tak ada (sedangkan) mereka (pemilik) kena bayar pekerja, mekanik dan banyak lagi.
“Bayangkan nasib pekerja yang mengharapkan pendapatan harian antaranya pemandu pelancong, apa nasib mereka… begitu juga pemandu bas dan lain-lain perkhidmatan yang hanya bergantung kepada jumlah pelancong menggunakan perkhidmatan mereka, tapi semua ini tidak disebut secara khusus dalam Bajet (Belanjawan 2021),” katanya di Hotel Shahzan Inn, di sini, semalam.
Di negeri ini sahaja, industri pelancongan dianggarkan mengalami kerugian RM2 bilion dengan RM500 juta daripadanya membabitkan sektor perhotelan apabila kehilangan perbelanjaan pelancong sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.
“Bantuan daripada kerajaan negeri adalah terhad kerana kita tidak mempunyai kewangan yang cukup untuk menolong sektor ini… semua cukai dibayar kepada kerajaan pusat, jadi adalah tenggung jawab mereka untuk membantu supaya sektor pelancongan terus bernafas.
“Sekiranya perkara ini tidak dipandang serius, kita bimbang akan timbul pelbagai masalah domestik dan sosial pada masa depan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *