Belanjawan Pahang 2021 fokus kemakmuran rakyat

Belanjawan Pahang 2021 fokus kemakmuran rakyat

Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kerajaan negeri menganggarkan lebihan RM5.3 juta dalam Belanjawan 2021 Pahang dengan kutipan hasil dijangka mencatatkan jumlah RM800.8 juta.
Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata jumlah kutipan itu membabitkan peningkatan RM56.775 juta atau 7.6 peratus berbanding anggaran tahun ini.
“Kutipan hasil bagi 2021 dijangka diperoleh daripada hasil tanah sebanyak RM452.3 juta, perhutanan (RM165.5 juta), air (RM15.25 juta), Geran Kerajaan Persekutuan (RM94.2 juta) dan lain-lain hasil (RM73.568 juta).
“Kutipan hasil negeri dijangka meningkat melalui pelaksanaan lebih bersepadu bagi kutipan cukai, premium dan hasil tanah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2021 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM795.5 juta bagi perbelanjaan mengurus, meningkat RM55.6 juta atau 7.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, perbelanjaan itu merangkumi perbelanjaan emolumen, perkhidmatan dan bekalan, pemberian dan kenaan bayaran tetap, perbelanjaan lain dan aset.
“Bagi perbelanjaan pembangunan, peruntukan adalah sebanyak RM202 juta yang akan membabitkan projek infrastruktur sebanyak RM109.415 juta dengan pembiayaan cara langsung, manakala RM92.5 juta adalah daripada pinjaman kerajaan persekutuan bagi membiayai Projek Bekalan Air.
“Projek ini akan menyumbang sebanyak 45 peratus daripada keseluruhan peruntukan projek pembangunan. Ini menunjukkan komitmen tinggi oleh kerajaan negeri dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat dari segi bekalan air,” katanya.
Menurutnya, pada 2019, pelaburan di negeri ini mencatatkan sejumlah RM9.25 bilion iaitu hasil pelaburan domestik sebanyak RM5 bilion manakala 4.25 bilion lagi hasil pelaburan asing.
“Pada 2019, sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan dengan kadar 6.2 peratus berbanding 6.5 peratus tahun sebelumnya.
“Sektor pertanian merekodkan pertumbuhan pada kadar lebih baik iaitu 3.5 peratus berbanding 1.3 peratus (2018). Sektor pembuatan pula mencatatkan pertumbuhan lebih sederhana iaitu sebanyak 4.7 peratus berbanding 5.8 peratus tahun sebelum itu,” kataya.
Bagaimanapun, beliau berkata, sektor pembinaan di Pahang masih kekal mencatatkan pertumbuhan negatif 28.2 peratus berbanding negatif 25.8 peratus tahun sebelumnya.
“Ini dipengaruhi terutamanya kemerosotan prestasi dalam semua subsektor pembinaan yang mencatatkan pertumbuhan negatif.
“Seterusnya, sektor perlombongan dan pengkuarian pula mencatatkan pertumbuhan lebih baik pada kadar 4.2 peratus berbanding pertumbuhan negatif 5.5 peratus yang direkodkan pada 2018,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *