Penjawat awam Pahang terima durian runtuh

Penjawat awam Pahang terima durian runtuh

BELANJAWAN NEGERI PAHANG 2021

Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Semua kakitangan kerajaan di negeri ini bakal mendapat durian runtuh apabila Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan Bantuan Khas Kewangan RM1,000 ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2021 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Beliau berkata, untuk tujuan itu kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM8 juta yang bakal dinikmati kira-kira 8,000 penjawat awam dengan pembayaran dilakukan sebelum 16 Januari tahun depan.
“Kerajaan negeri ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada penjawat awam yang bertungkus-lumus membantu memberikan perkhidmatan terbaik meskipun dalam keadaan sukar.
“Dengan ini, dengan penuh rasa syukur, kerajaan negeri bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,000 kepada semua kakitangan kerajaan tanpa pengecualian gred, kerana setiap inci kejayaan yang kita rasai hari ini adalah hasil usaha padu kita semua,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan secara ‘one-off’ kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di sekolah dan asrama.
“Kerajaan negeri turut bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan secara one-off berjumlah 300 ringgit kepada 2,978 guru yang terbabit. Jumlah peruntukan Bantuan Khas Kewangan ini adalah sebanyak RM893,400,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi menjaga kebajikan golongan warga emas berusia 80 tahun ke atas, sumbangan secara one-off sebanyak RM250 seorang membabitkan seramai 2,054 orang diperuntukkan dengan peruntukan berjumlah RM513,500.
“Bagi membantu Orang Kelainan Upaya (OKU), kerajaan negeri akan memperuntukkan sejumlah RM8,493,250 kepada 33,973 penerima secara one-off dengan kadar RM250 seorang.
“Kepada 3,014 penerima Bantuan Am Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kerajaan negeri akan menaikkan kadar bantuan daripada RM300 sebulan kepada RM350 sebulan yang menjadikan keseluruhan peruntukan tambahan ini sebanyak RM1.8 juta setahun.
Tambahnya, untuk menghargai bakti imam kariah, kerajaan negeri memperuntukkan sumbangan secara one-off sebanyak RM750 seorang kepada seramai 1,032 imam di seluruh Pahang dengan jumlah peruntukan RM774,000.
“Tidak dilupakan juga jasa bilal dan siak, kerajaan negeri memperuntukkan sumbangan secara one-off sebanyak RM250 seorang membabitkan seramai 888 bilal dan 889 siak seluruh Pahang dengan jumlah peruntukan RM444,250.
“Bagi tujuan memberi semangat kepada seramai 24,000 murid sekolah bantuan penuh kerajaan yang bakal memasuki alam persekolahan darjah 1 pada 2021, sejumlah RM2.4 juta diperuntukkan iaitu pemberian secara one-off RM100 kepada setiap murid,” katanya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *