DPPNP zahir penghargaan kepada MB Pahang

DPPNP zahir penghargaan kepada MB Pahang

Helmy Abd Rahman
fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: “Belanjawan seimbang, mengambil kira situasi semasa, ekonomi global, domestik dan kesejahteraan rakyat,” demikian reaksi Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang (DPPNP) Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin, mengulas Belanjawan Pahang 2021 yang dibentangkan Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Sri Pahang, Isnin lalu.
Mohd Zakhwan berkata, pengumuman belanjawan berkenaan amat bertepatan pada masanya, lebih-lebih lagi rakyat ketika ini berdepan pelbagai cabaran untuk meneruskan kelangsungan kehidupan selepas terkesan susulan penularan pandemik COVID-19.
“DPPNP mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Menteri Besar Pahang atas pembentangan Belanjawan 2021 bertemakan ‘Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama’ yang sangat bermakna dan saksama untuk semua lapisan dan golongan rakyat di negeri ini.
“Kami melihat belanjawan ini yang mempunyai lebihan RM5.332 juta ini sebagai satu belanjawan yang sangat seimbang untuk semua lapisan dan golongan rakyat di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan itu, berkata bagi mewakili golongan belia, DPPNP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas keprihatinan kerajaan negeri mengumumkan tiga peruntukan khusus untuk golongan belia negeri ini iaitu RM10 juta untuk golongan belia memulakan perniagaan, RM470 untuk pembangunan belia negeri dan juga insentif ‘one-off’ kepada pasangan muda melangsungkan perkahwinan.
“Selain itu, pelbagai peruntukan dan insentif lain antaranya rumah PR1MA (Perbadanan PR1MA Malaysia), Rumah Makmur dan Rumah Rakyat Pahang selain bantuan untuk anak-anak yang bakal memasuki tahun satu pada tahun depan, sudah pasti memberi sedikit kelegaan kepada golongan muda di negeri ini.
“Dengan jangkaan peningkatan hasil sebanyak 7.6 peratus pada 2021, kami yakin kerajaan Muafakat Nasional (MN) Pahang adalah sebuah kerajaan stabil dan kukuh bagi terus menjaga kesejahteraan serta keharmonian rakyat negeri ini.
Tambah beliau, DPPNP sangat menghargai kepercayaan dan pengiktirafan kerajaan negeri dengan turut memasukkan PAS sebagai komponen kerajaan negeri menerusi pembabitan di peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Kesejateraan Kampung (JKKK) dan peruntukan terus kepada semua ADUN PAS bagi menguruskan projek-projek kecil dalam DUN yang diwakili.
“Satu kepercayaan dan pengiktirafan besar buat kami dan akan kami jalankan dengan penuh tanggungjawab dan amanah,” katanya.
DPPNP juga menyatakan tekad untuk terus bersama mempertahankan kerajaan sedia ada bagi memastikan agenda perpaduan ummah terus diperkasa bagi memberi manfaat buat semua rakyat di negara ini khususnya di negeri ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *