MUIP peruntukkan RM15.1 juta salur bantuan sejak PKP

MUIP peruntukkan RM15.1 juta salur bantuan sejak PKP

Helmy Abd Rahman
fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Kerajaan negeri melalui Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengagihkan zakat sebanyak RM146.8 juta tahun lalu menerusi hasil kutipan berjumlah RM157.6 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata daripada jumlah agihan itu, sebanyak RM74.8 juta diserahkan kepada fisabilillah terdiri daripada golongan pelajar, manakala RM30.7 juta diagih kepada golongan miskin dan RM18.8 juta lagi kepada amil.
Selain itu, katanya, MUIP memperuntukkan sebanyak RM15.1 juta bagi pelbagai bantuan khas ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac hingga Jun lalu.
“Pelbagai program dan skim bantuan disediakan MUIP, sekali gus memudahkan golongan asnaf menerima sumbangan zakat.
“Antaranya bantuan bulanan, baucar barangan kepada 3,569 penerima, bantuan hari raya (25,482 penerima), bantuan am sara hidup termasuk bantuan khas COVID-19, bantuan pendidikan, bantuan rawatan dan alatan perubatan kepada (533 penerima), bantuan baik pulih rumah (80 penerima) serta bantuan kursus latihan dan kemahiran (173 penerima),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Zuridan Mohd Daud (PAS), mengenai kutipan zakat di negeri ini pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sementara itu, pada sesi petang sidang dewan pula, Syed Ibrahim memuji dan menyatakan sokongannya terhadap Belanjawan Pahang 2021 yang dibentangkan Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Isnin lalu, yang disifatkannya syumul dan mencakupi semua aspek.
“Pelbagai skim dan insentif dizahirkan kepada pelbagai pihak. Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) diperuntukan sebanyak RM129.26 juta untuk menggerakkan jenteranya bagi berbakti kepada rakyat.
“Bagi menghargai bakti imam kariah, kerajaan negeri memperuntukkan sumbangan secara sekali bayaran RM750 seorang kepada 1,032 imam seluruh Pahang dengan peruntukan RM774,000.
“Tidak dilupakan juga jasa bilal dan siak apabila kerajaan negeri memperuntukkan sumbangan secara ‘one-off’ RM250 seorang yang membabitkan 888 bilal dan 889 siak di Pahang dengan jumlah peruntukan RM444,250,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *