Pesakit kronik terima bantuan RM1,000

Pesakit kronik terima bantuan RM1,000


Helmy Abd Rahman
fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Hanya titisan air mata yang dapat menggambarkan betapa terharunya perasaan warga emas ini tatkala menerima sumbangan wang tunai daripada kerajaan negeri, baru-baru ini.

Ibrahim Mohamed dari Kampung Sungai Isap


Bagi Ibrahim Mohamed, 66, dari Kampung Sungai Isap, bersyukur apabila nasib dirinya yang mengidap pelbagai penyakit kronik, seakan terbela.
“Saya mengidap macam-macam penyakit, jantung, kencing manis, darah tinggi sejak enam atau tujuh tahun lalu.
“Sekarang ini memang dah tak mampu nak buat sebarang kerja lagi, hanya mengharapkan bantuan isteri (Daryah Majid, 65) dan anak-anak,” katanya sambil mengesat air mata.
Tambah menyedihkan, Ibrahim bersama isteri serta 12 anak dan cucu kini hanya mampu tinggal di sebuah rumah yang didirikan di atas tanah kerajaan selepas kediaman lamanya di kawasan berhampiran, rosak musnah akibat banjir.
“Kami sekeluarga bukanlah orang senang, sebab itu saya berasa syukur sangat bila kerajaan negeri yang prihatin dapat hulurkan sumbangan ini,” katanya.
Ibrahim adalah seorang daripada sembilan pesakit kronik di Kampung Sungai Isap dan Tanah Putih yang menerima bantuan wang berjumlah RM1,000 sumbangan kerajaan negeri yang diwakilkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, sumbangan kepada sembilan penerima itu dapat dilakukan selepas peruntukan diluluskan Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Alhamdlillah, saya bersama ahli jawatankuasa kepimpinan UMNO Kuantan dapat memenuhi hasrat sembilan pesakit kronik di Sungai Isap dan Tanah Putih yang memang memerlukan dan mengharapkan bantuan daripada kerajaan negeri.
“Saya sempat menziarahi semua mereka dan bertanyakan sendiri keadaan diri masing-masing yang mengidap pelbagai penyakit kronik antaranya jantung, kencing manis, buah pinggang dan ada yang tak boleh berjalan serta kemudian sampaikan cek bernilai RM1,000 kepada mereka,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *