Jalan Tanjung Gahai dan     Pejabat Daerah Kecil Jelai beri kemudahan kepada penduduk

Jalan Tanjung Gahai dan Pejabat Daerah Kecil Jelai beri kemudahan kepada penduduk

Oleh Muhammad Najmie
fikrahpahang@gmail.com

KUALA LIPIS: Jalan sepanjang lapan kilometer (km) bagi menghubungkan Kampung Tanjung Gahai ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Jelai yang bakal disiapkan Disember ini, dijangka dapat memberi kemudahan kepada penduduk di Tanjung Gahai, Kuala Koyan dan Bertang.
Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jalan yang menelan belanja RM1.7 juta itu siap lebih awal daripada jadual asal dan akan dapat digunakan dalam tempoh beberapa minggu sahaja lagi.
“Jika sebelum ini penduduk setempat terpaksa menggunakan laluan yang agak jauh iaitu kira-kira 16 km, kini mereka dapat menikmati kemudahan jalan raya yang selesa dan menjimatkan masa setelah jalan ini siap dibina sepenuhnya.
“Jalan ini bukan sekadar dapat memberi kemudahan untuk pergi ke TKPM semata-mata, sebaliknya dapat digunakan penduduk untuk ke kebun getah atau kebun sawit dan pada masa sama akan meningkatkan nilai hartanah semasa.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Cakna Tok Wan di Dewan UMNO Bahagian Cameron Highlands di Sungai Koyan, dekat sini.
Sebelum itu, Menteri Besar mendengar taklimat daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, Ir Hafizah Zakaria sempena lawatan ke tapak projek Jalan Tanjung Gahai ke TKPM Jelai di Kampung Kuala Medang.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy berkata, pembinaan Pejabat Daerah Kecil Jelai di kawasan Bukit Betong, dekat sini, bertujuan memudahkan penduduk setempat khususnya di kawasan luar bandar berurusan tanpa perlu pergi ke bandar Kuala Lipis yang agak jauh.
Menurutnya, Kerajaan Pahang memperuntukkan RM10 juta bagi pembinaan pejabat daerah kecil itu yang bakal memberikan kemudahan kepada penduduk di Kampung Kuala Medang, Tanjung Gahai, Bertang dan Lubuk Kulit, khususnya penduduk di kawasan Dewan Negeri Jelai.
“Dengan adanya pejabat daerah kecil ini, kerajaan akan memberi perkhidmatan kepada masyarakat setempat untuk mereka berurusan tanpa perlu berulang-alik ke Pejabat Daerah Lipis,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan pejabat daerah kecil itu juga dapat meningkatkan lagi kutipan cukai kepada pihak kerajaan.
Katanya, melalui pejabat sementara yang beroperasi di bangunan Balai Perjumpaan Kampung Bukit Betong, Mukim Batu Yon 1, yang mensasarkan kutipan cukai di kawasan terbabit sekitar RM35,000 tetapi telah memperolehi hasil melebihi sasaran kutipan iaitu RM39,174.
Wan Rosdy berkata, Pejabat Daerah Kecil Jelai itu bakal memberikan kemudahan kepada tiga mukim di daerah Lipis iaitu Mukim Ulu Jelai, Mukim Batu Yon dan Mukim Telang membabitkan seramai 11,231 pemilik tanah.
Kewujudan pejabat daerah ini dilihat sangat perlu kerana daerah Lipis merupakan daerah yang besar dengan keluasan 538,272 hektar dalam 10 mukim dan mempunyai seramai 44,637 pemilik tanah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *