Agong zahir dukacita

Agong zahir dukacita

Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berduka atas pemergian legenda bola sepak dunia, Diego Maradona yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Argentina, awal pagi tadi.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan Istana Negara, hari ini, Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda amat terpesona dengan karisma dan personaliti Maradona ketika berkesempatan bertemu bekas bintang Napoli serta Barcelona itu di Anugerah Bola Sepak FIFA 2017 di Zurich, tiga tahun lalu.
Menerusi minat dan cinta terhadap sukan bola sepak, baginda sempat berkongsi idea dan pandangan mengenai sukan berkenaan pada pertemuan itu.
Maradona dilabel antara pemain terhebat sepanjang zaman dan pernah menjadi kapten ketika membantu Argentina menjuarai Piala Dunia 1986.
Mendiang yang turut beraksi buat Boca Juniors, Barcelona dan Napoli, juga diingati atas insiden ‘gol tangan Tuhan’ ketika Argentina menewaskan England pada perlawanan suku akhir Piala Dunia 1986.
Pada 1982, Maradona yang ketika itu mewakili Boca Juniors pernah bermain perlawanan persahabatan menentang Jemputan Selangor yang menghimpunkan bintang bola sepak ternama tempatan, antaranya Allahyarham Dato’ Mokhtar Dahari, Mendiang R Arumugam, Dato’ Santokh Singh dan Dato’ Soh Chin Aun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *