15 masjid baharu bakal dibina di Pahang

15 masjid baharu bakal dibina di Pahang

Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my

TEMERLOH: Sebanyak sembilan masjid baharu dibina tahun ini dan 15 lagi bakal dibangunkan pada 2021 di seluruh Pahang membabitkan kos lebih RM30 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata pembinaan semua masjid berkenaan adalah hasil kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan.
“Pembinaan masjid-masjid ini diurusetia dan diselenggarakan pihak Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan JKR (Jabatan Kerja Raya) Pahang.
“Kos pembinaan pula bergantung kepada keperluan di setiap lokasi, misalnya di Kuala Tekal ini sebanyak hampir RM1.8 juta dengan kapasiti 200 jemaah sementara di Taman Saga besar sedikit sebab taman itu luas dan kosnya menjangkau RM5 juta kerana ia mampu memuatkan 500 jemaah pada satu-satu masa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Fikrah Pahang ketika mengadakan lawatan di tapak pembinaan Masjid Kuala Tekal yang baharu di sini, hari ini.
Sementara itu, Jurutera Daerah JKR Temerloh, Anuar Mohd Azlan, berkata masjid baharu berkenaan dijangka siap pada 2022 di tapak seluas 0.341 hektar.
“Bangunan masjid membabitkan ruang sembahyang yang dapat memuatkan 80 jemaah, beranda kiri dan kanan masing-masing 50 jemaah dan ruang depan seramai 20 jemaah selain tandas lelaki dan wanita serta menara.
“Mungkin ada pertambahan jemaah pada masa akan datang, jadi kita syorkan juga tambahan bumbung untuk menampung pertambahan 100 jemaah lagi pada masa depan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *