“Mimpi Ngeri” jika teruskan PKPB

“Mimpi Ngeri” jika teruskan PKPB

Helmy Abd Rahman 

helmy@fikrahpahang.com.my

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Mekanisme Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perlu ditambah baik dengan hanya membabitkan daerah yang berada di zon merah dan kuning sahaja, bukan keseluruhan negeri seperti dilaksanakan sekarang.

  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata sekiranya tidak diubah, PKPB terus memberi impak buruk terhadap ekonomi negara dan memberi kesan langsung kepada masyarakat akibat kehilangan pekerjaan serta peniaga yang terpaksa ‘tutup kedai’.

  “Kerajaan wajar memikirkan situasi menang-menang dalam pelaksanaan PKPB. Ia wajar diteruskan tetapi perlu dilaksanakan mengikut daerah dan tidak membabitkan seluruh negara.

  “Jika sesuatu daerah itu merah dan kuning, hanya kawasan berkenaan perlu dikenakan PKPB. Jika PKPB seluruh negara atau negeri, ia memberi kesan kepada ekonomi, ramai yang akan hilang pekerjaan dan ramai peniaga kecil akan terkesan ekoran pelaksanaannya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

  Sebelum ini, PKPB dilaksanakan di seluruh negara kecuali Pahang, Perlis dan Sarawak bermula 9 November lalu.

  Bagaimanapun PKPB di Johor, Melaka, Kedah dan Terengganu ditamatkan lebih awal iaitu pada 21 November lalu, namun beberapa daerah antaranya Kulim di Kedah, Kota Tinggi dan Mersing di Johor, masih dikenakan PKPB. 

  Mengulas lanjut, Sharkar berkata, PKPB sekarang juga menyebabkan sektor pelancongan yang memberi sumbangan besar dalam pertumbuhan ekonomi negara, terjejas teruk. 

  “Saya berikan contoh di Pahang, industri pelancongan di negeri ini berdepan cabaran cukup besar apabila kehilangan kira-kira 1.05 juta pelancong sebulan sejak Mac tahun ini.

  “Kehilangan pelancong mendadak ini amat membimbangkan kepada semua pemain industri pelancongan, sekali gus memberi kesan kepada pencapaian sasaran 15 juta pelancong tahun ini.

  “Bagaimanapun, kerajaan negeri komited memastikan industri itu bangkit dan berdaya saing dengan merancang pelbagai inisiatif bagi meningkatkan semula kemasukan pelancong khususnya bagi pelancongan domestik.

  “Misalnya dalam pembentangan Belanjawan Pahang 2021, Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan peruntukan RM1.5 juta bagi 16 projek di bawah Projek Penyediaan Infrastruktur dan Fasiliti Pelancongan 2020 meliputi setiap Daerah di Pahang.

  “Kerajaan negeri juga mengemukakan permohonan projek-projek pelancongan kepada Kerajaan Persekutuan yang berjumlah RM49.25 juta. 

  “Jadi, sewajarnya kerajaan hanya melaksanakan PKPB di kawasan merah dan kuning sahaja. Ini penting, bagi kita merancakkan kembali ekonomi negara dan memulihkan kembali sektor pelancongan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *