Syukurlah kome orang Pahang

Syukurlah kome orang Pahang

Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Rakyat negeri ini boleh disifatkan beruntung apabila dapat berkongsi pelbagai manfaat menerusi Belanjawan Pahang 2021 yang buat pertama kali mencecah RM800 juta.
Antara yang diberikan perhatian kerajaan negeri adalah pemberian insentif berkaitan pendidikan, termasuk pembelajaran secara ‘online’ untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata angka belanjawan itu dapat dicapai berikutan kedudukan kewangan negeri yang kukuh.
“Petang ini saya hadir ke majlis penyerahan insentif pembelajaran secara online bagi calon-calon SPM yang disempurnakan Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Sri Pahang.
“Pada majlis ini saya menerima replika cek berjumlah RM962,700 dari YAB Menteri Besar sebagai simbolik penyerahan insentif berkenaan untuk 19,254 pelajar SPM 2020 negeri ini.
“Baki peruntukan tunai akan dimasukkan ke dalam akaun Pusat Khidmat Dewan Negeri untuk diserahkan kepada pelajar di kawasan masing-masing,” katanya, hari ini.
Menurutnya, insentif yang diperkenal dan dilaksanakan itu membuktikan keprihatinan tinggi kerajaan Pahang berkaitan soal kebajikan pelajar, khususnya yang berdepan kesukaran pembelajaran dalam tempoh mencabar pandemik COVID-19 yang masih membelenggu negara saat ini.
“Ia juga berjaya dilaksanakan berikutan kerajaan Pahang mempunyai kedudukan kewangan kukuh, pertama kali dalam sejarah, Belanjawan 2021 mencecah angka RM800 juta berbanding tahun sebelum ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *