“Syukur kami dapat berteduh di rumah baharu”

“Syukur kami dapat berteduh di rumah baharu”

Mohd Imran Izzad

RAUB: “Saya amat bersyukur dan berterima kasih pada pihak yang membantu menyediakan sebuah rumah yang selesa dan menarik ini.

  “Penantian lebih tiga bulan untuk berteduh di rumah baharu akhirnya menjadi kenyataan,” kata ibu tunggal, Ishanina Ismail, 42.

  Katanya, kesudian Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Pejabat Daerah dan Tanah Raub menyediakan perbelanjaan serta pelan binaan yang menarik hanya mampu dibalas dengan ucapan terima kasih.

  Menurutnya, tidak ketinggalan sanjungan diberikan kepada anggota tentera Batalion ke Tujuh Rejimen Diraja (Mekanize) Kem Batu 10 Kuantan yang terbabit membina rumah berkenaan bermula sejak 18 Ogos lalu.

  “Hanya Allah sahaja yang akan membalas pengorbanan mereka yang terbabit, setiap titik peluh dan kudrat dicurahkan pasti mendapat pahala kerana membantu seorang ibu tunggal,” katanya.

 Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Jiwa Murni Tentera yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah di Kampung Gali Hilir, dekat sini.

  Hadir sama, Pegawai Memerintah 7 Rejimen Renjer Diraja (Mekanize) Leftenan Kolonel Norhisham Hassan.

  Sementara itu, Norhisham berkata, kos bahan binaan disediakan MUIP, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Pejabat Daerah Raub MUIP manakala pihaknya membantu dari segi tenaga kerja.

  Katanya, projek Jiwa Murni merupakan kaedah untuk mengeratkan hubungan tentera dengan masyarakat seiring dengan tonggak kelima dalam Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu peningkatan hubungan tentera dan awam. 

  “Dengan pembinaan rumah berkenaan diharap dapat memberi keselesaan kepada Ishanina sekeluarga untuk berteduh selepas rumah pusaka tempat mereka tinggal sebelum ini terbakar awal tahun lalu.

  “Pembinaan rumah bermula 18 Ogos dan siap sepenuhnya 10 November lalu, membabitkan penyertaan seorang pegawai dan 17 anggota lain-lain pangkat dari 7 Rejimen Renjer Diraja (Mekanize) dan 11 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (Mekanize),” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *