MB janji akan teruskan pemberian insentif pembelajaran kepada calon SPM pada masa akan datang

MB janji akan teruskan pemberian insentif pembelajaran kepada calon SPM pada masa akan datang

Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Insentif pembelajaran secara online bagi calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diagihkan secara berperingkat menerusi Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri di seluruh Pahang.
Kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM1 juta sebagai insentif kepada 19,254 calon SPM untuk menelaah pelajaran secara online.
Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata dana itu disalurkan berikutan penutupan sekolah akibat penularan pandemik COVID-19 di negara ini.
“Setiap calon SPM di negeri ini akan mendapat RM50 seorang dan peruntukan ini pertama kali diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Pahang 2021 pada hari pertama persidangan DUN (Dewan Undangan Negeri), baru-baru ini.
“Insentif ini disalurkan kepada semua calon SPM sebagai suntikan semangat dan tanda keikhlasan kerajaan terhadap kebajikan pelajar yang akan menduduki peperiksaan pada Februari 2021,” katanya.
Beliau berkata, insentif berkenaan membabitkan penerima di 11 daerah, 14 Parlimen, 42 DUN dan 214 sekolah di seluruh negeri ini.
“Kita dapat mengagihkan insentif ini kerana mempunyai kedudukan kewangan kukuh pada tahun ini. Bila kedudukan kewangan kukuh dan ada wang lebihan, kita belanjakan semula kepada rakyat dan kita bercadang meneruskan pemberian intensif ini pada masa akan datang.
“Jika dapat kutipan lebih pada tahun depan, sudah pasti ada penambahan insentif, sebaliknya kalau kutipan kewangan mendatar seperti tahun ini, agihannya tetap sama.
“Ini janji kerajaan negeri, apa yang kita dapat kita akan serah balik kepada rakyat,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *