MB ucap takziah kepada keluarga dua kakitangan PKD Pekan yang terkorban dalam kemalangan jalan raya pagi ini.

MB ucap takziah kepada keluarga dua kakitangan PKD Pekan yang terkorban dalam kemalangan jalan raya pagi ini.

Helmy Abd Rahman 

helmy@fikrahpahang.com.my

PEKAN: YAB Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dua kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD)  Pekan yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di sini, pagi ini.

   Menteri Besar berkongsi perkhabaran sedih terbabit di laman Facebook miliknya.

  “Saya ucapkan salam takziah kepada ahli keluarga arwah dan tabah menghadapi dugaan ini. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.

  Kemalangan yang membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 32 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, Tanjung Batu, dekat sini, turut mencederakan tiga lagi mangsa.

  Pemandu, Mohd Zuhairi Abdullah, 35, dan jururawat Julayha Kudus, 39, bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan, meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah pada anggota badan.   

  Tiga lagi yang cedera, pegawai perubatan PKD Pekan, Dr Muhd Ikhwan Ramlee, 29, yang juga penumpang hadapan pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu Mohd Zuhairi serta pemandu Perodua Myvi, Azlida Mohamad Ramli, 41 dan anak perempuannya, Nur Mawaddah Mazuha @ Nazuha Umur yang berusia lima tahun.

  Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof, berkata kemalangan itu berlaku pada 10.20 pagi membabitkan lori tangki, kenderaan pacuan empat roda dan kereta.

  “Kemalangan berlaku apabila lori tangki yang dalam perjalanan dari Rompin menghala ke Kuantan, dipercayai terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan kemudian berlanggar dengan Perodua Myvi dan Toyota Hilux terbabit.

  “Kemalangan itu menyebabkan pemandu Toyota Hilux, Mohd Zuhairi bersama penumpang belakang, Julayha meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

  Menurutnya, Mohd Zuhairi dan Julayha terkorban ketika dalam perjalanan menjalankan tugas rutin pasukan bergerak Orang Asli (PBOA) PKD Pekan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *