PAID Kuantan 2 hampir siap, bakal serap sebahagian beban tugas PAID Kuantan sedia ada

PAID Kuantan 2 hampir siap, bakal serap sebahagian beban tugas PAID Kuantan sedia ada

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuantan 2 yang sedang dalam pembinaan, akan melicinkan kerja-kerja berkaitan hal ehwal Islam di negeri ini apabila siap nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata ini berikutan fungsinya yang dapat mengurangkan penumpuan kepada pentadbiran PAID sedia ada.
“Petang ini saya dapat melihat sendiri dua daripada lima bangunan cadangan sebagai tapak baharu PAID Kuantan 2.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad (tiga dari kiri) meninjau Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuantan 2 yang kini sedang dalam pembinaan di Bandar Baru Jaya Gading


“Saya sempat meminta kerjasama JKR (Jabatan Kerja Raya Pahang) membantu memberikan beberapa pelan cadangan untuk renovasi dan kos diperlukan mengikut keperluan pejabat.
“Ia akan saya bentangkan dalam mesyuarat mingguan kerajaan negeri (mesyuarat EXCO) dan untuk mendapatkan persetujuan Menteri Besar (Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail),” katanya hari ini.
Menurutnya, urusan pentadbiran di PAID 2 itu juga dapat membantu masyarakat Parlimen Paya Besar dan beberapa bahagian lain di daerah ini.
“Apabila siap nanti ia bukan sahaja mengurangkan penumpuan kepada pentadbiran PAID Kuantan sedia ada, malah mampu melicinkan lagi kerja-kerja berkaitan hal ehwal agama Islam.
“Antaranya ialah pengurusan masjid, takmir, Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA); urusan nikah kahwin serta perceraian selain pekara-perkara lain yang berkaitan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *