MB lulus peruntukan segera RM88,000 bagi membaiki jalan ke Hulu Tembeling yang mendap dan runtuh

MB lulus peruntukan segera RM88,000 bagi membaiki jalan ke Hulu Tembeling yang mendap dan runtuh

Oleh: Muhammad Najmie
fikrahpahang@gmail.com

JERANTUT: Kerajaan negeri Pahang meluluskan peruntukan segera RM88,000 bagi melakukan kerja membaik pulih jalan dari Kampung Pagi ke Kampung Mat Daling yang rosak teruk untuk memberikan keselesaan kepada pengguna jalan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Nazri Ngah, berkata kerajaan negeri meluluskan peruntukan segera melalui Peruntukan Perolehan Darurat Kerajaan Negeri Pahang pada Mesyuarat Exco Negeri, di Kuantan, semalam.
Sebelum ini, kira-kira 2,000 penduduk beberapa kampung di Hulu Tembeling resah dan bimbang terputus hubungan apabila lapan tempat di laluan itu, mula mendap dan tebing runtuh berikutan hujan berterusan, dua minggu lalu.
“Dengan adanya peruntukan ini diharap kerja-kerja membaiki dapat dilakukan segera terutama di tempat yang berbahaya dan teruk bagi menggelakkan kejadian yang tidak diingini dengan dipantau oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Jerantut.
“Lagi pun jalan ini merupakan jalan perhubungan utama bagi lima buah kampung di kawasan pedalaman Hulu Tembeling iaitu Kampung Pagi, Kuala Sat, Bantal, Mat Daling dan Gusai untuk keluar ke bandar Jerantut membeli barang keperluan harian,” katanya.
“Kelulusan segera ini menunjukkan sikap keprihatinan kerajaan negeri Pahang pimpinan Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam menangani masalah raykat di peringkat bawah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat lawatan pemantauan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli, Dato’ Abd Aziz Kiram dan wakil JKR Jerantut, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar berkata, beliau berharap kos penyelengaraan tersebut dapat dimanfaatkan oleh JKR Jerantut untuk memastikan jalan tersebut dapat digunakan dengan selamat.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli, Dato’ Abd Aziz Kiram, berkata Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan memperuntukkan RM36.8 juta untuk membaiki keseluruhan jalan dari Kuala Tahan ke Kampung Mat Daling pada tahun hadapan.
“Peruntukan besar itu adalah untuk membaiki keseluruhan jalan itu bagi keselesaan penduduk lima kampung pedalaman di Hulu Tembeling itu.
Katannya, jalan itu dibina oleh
KPLB sejak lebih 10 tahun lalu dan wajar ada bahagian yang rosak terutama membabitkan kawasan yang berbukit.
Beliau berharap peruntukan segera yang diberikan oleh kerajaan negeri sebanyak RM88,000 bagi membaiki kawasan yang rosak teruk dan berbahaya dapat melegakan penduduk kampung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *