Stadium SUKPA Indera Mahkota jadi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19

Stadium SUKPA Indera Mahkota jadi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kerajaan negeri bersetuju menggunakan Stadium Tertutup Sukpa di Indera Mahkota, di sini sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) bagi menempatkan pesakit bukan warganegara berisiko rendah dan tidak memerlukan rawatan khusus.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, Mohd Zairasyahli Shah Zakaria, berkata pemilihan lokasi berkenaan berikutan ketiadaan tempat sesuai di Bentong yang mana beberapa tempat di kawasan itu kini menjalani pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Setakat ini, tempat seperti Institut Aminuddin Baki (IAB) tidak sesuai kerana sudah dijadikan tempat pusat petugas kesihatan dan pihak berkuasa bagi mengawal kawasan PKPD di tiga lokaliti sekitar Genting Highlands.
“Selain itu, terdapat kira-kira 60 residen masih menetap di dalam kawasan IAB. Tempat lain seperti Dewan MRSM Bentong juga tidak sesuai kerana ia adalah institusi pendidikan dan akan menimbulkan ancaman kepada pelajar dan ibu bapa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, stadium itu dipilih berikutan situasi semasa tidak mengganggu rawatan dan perkhidmatan sedia ada di hospital kerajaan dan memberi lebih ruang kepada rakyat negeri ini mendapatkan rawatan terbaik.
“Selain itu, stadium ini hampir dengan pusat rawatan intensif COVID-19 sekali gus memudahkan pergerakan doktor-doktor pakar dari hospital dalam jarak dan masa singkat.
“Lokasi ini juga khusus untuk warga asing sahaja kerana kita tak mahu akses rakyat tersekat berikutan dipenuhi warga asing,” katanya.
Beliau juga memberi jaminan memaksimumkan tahap keselamatan dan kawalan di stadium berkenaan supaya masyarakat setempat tidak tergugat dengan kehadiran mereka dan boleh menjalani kehidupan harian seperti biasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *