Pahang catat 582 kes COVID-19 sehingga semalam

Pahang catat 582 kes COVID-19 sehingga semalam

Pahang catat 582 kes COVID-19 sehingga semalam

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Sebanyak 582 kes jangkitan COVID-19 dilaporkan di negeri ini sehingga semalam.
Daripada jumlah itu, sebanyak 211 kes dikesan sepanjang gelombang ketiga pandemik berkenaan iaitu pada 20 September hingga 9 Disember lalu.
Pengarah Kesihatan Pahang, Dato’ Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah, berkata 45 kes atau 21.3 peratus daripada 211 kes itu membabitkan rakyat Malaysia manakala 166 warga asing.
Katanya, memandangkan kebanyakan kes adalah tidak bergejala atau hanya mempunyai gejala ringan, terdapat keperluan untuk menyediakan pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC) yang bersesuaian bagi kes-kes ini.
“Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Pahang dengan kerjasama Jawatankuasa ‘Task-Force’ COVID-19 Negeri Pahang bersetuju menjadikan Stadium Tertutup SUKPA di Indera Mahkota sebagai PKRC untuk bukan warganegara di Pahang.
“Stadium ini bukan sahaja akan menempatkan bukan warga asing di kawasan Bentong sahaja tetapi juga dari daerah lain,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata, lokasi stadium berkenaan yang berdekatan dengan jalan utama memudahkan urusan pengangkutan kes positif dari daerah lain.
Selain itu katanya, stadium berkenaan mempunyai kelengkapan asas mencukupi untuk merawat kes COVID-19 tidak bergejala atau dengan gejala ringan dalam jumlah besar iaitu sekitar 50 hingga 200 orang.
“Stadium ini juga terletak berdekatan dengan hospital berpakar iaitu Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan Sultan Ahmad Shah Medical Centre University Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC) Kuantan yang mempunyai kepakaran dan peralatan yang mencukupi untuk rawatan kes kritikal.
“Lokasi Stadium Tertutup SUKPA di atas tempat berbukit memudahkan kawalan keselamatan oleh anggota beruniform yang bertugas,” katanya.
Menurutnya, menerusi pembukaan PKRC SUKPA, rawatan kepakaran kepada rakyat Pahang tidak terjejas di mana pakar-pakar di HTAA dan SASMEC contohnya pakar jantung dan bedah terus memberi rawatan kepakaran kepada kes-kes rakyat tempatan.
“Begitu juga perkhidmatan-perkhidmatan lain di hospital dapat terus dilaksanakan sepertimana biasa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *