Indahnya aturan jodoh, terima kasih MB

Indahnya aturan jodoh, terima kasih MB

Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: “Ingatkan tak sempat… Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan (pernikahan) kami,” kata Badrolhisyam Rahmat, 28, sambil diakui isterinya, Nur Ainun Hafizatul S Baharin, 22.


Kedua mempelai itu antara 11 pasangan menyertai program Moh Kahwin iaitu penganjuran majlis perkahwinan beramai-ramai yang dianjurkan kerajaan negeri di Dewan Orang Ramai Kampung Pandan 1 di sini, hari ini.
Badrolhisyam berkata, mulanya dia dan isteri merancang untuk melangsungkan perkahwinan sekitar penghujung tahun ini, namun belum menetapkan tarikhnya.
“Kami memang ‘plan’ (rancang) nak kahwin hujung tahun ini, tapi agak buntu untuk pilih tarikh, tambahan pula keadaan semasa negara yabg dilanda pandemik COVID-19.
“Isteri kemudian cadangkan kami sertai sahaja program Moh Kahwin ini dan apabila ditanya kepada penganjur, mereka kata masih ada satu kekosongan. Jadi kami pun cubalah, tak sangka pula terpilih,” katanya yang berasal dari Sungai Tong, Terengganu.
Menurutnya, dia dan pasangan agak kelam-kabut membuat persediaan memandangkan kesuntukan masa, namun lega apabila semuanya berjalan lancar.
“Saya terpaksa pulang ke Terengganu untuk pelbagai urusan bagi pihak lelaki dan isteri pula belum masuk kursus kahwin. Dia daftar 3 haribulan (Disember) untuk kursus kahwin secara online dan esoknya, terus dapat sijil,” katanya.
Nur Ainun Hafizatul pula berkata, dia amat bersyukur apabila urusan perkahwinannya dipermudahkan.
“Ini kami anggap sebagai rezeki dan saya sangat berterima kasih kepada semua pihak, terutama kerajaan Pahang kerana banyak membantu kami mendirikan rumah tangga,” katanya yang juga anak jati Kampung Kurnia, di sini.
Bagi pasangan Mohamad Izuan Sabri, 27, dan isteri, Nor Aida Mohamed Khusaini, 29, program berkenaan amat membantu kepada pengantin yang baharu mendirikan rumah tangga seperti mereka.
“Program ini memang terbaik… terima kasih kerajaan Pahang. Bolehlah kami gunakan wang simpanan untuk perkara lain pula. Maklumlah, pasangan baru berkahwin tentulah banyak duit nak guna,” katanya.
Permohonan bagi insentif berkenaan boleh dilakukan secara online dengan melayari laman web Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dengan syarat utama pemohon memperoleh pendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kira-kira 2,000 pasangan berkahwin kali pertama di Pahang sudah menerima insentif RM200 yang diumumkan kerajaan negeri awal tahun ini.
“Sehingga September lalu kerajaan negeri sudah menyalurkan kira-kira RM300,000 kepada pasangan yang layak. Insentif ini adalah antara usaha kerajaan negeri dalam membantu meringankan bebanan pasangan yang baru mendirikan rumah tangga.
“Berikutan pelaksanaan dan sambutan diterima sangat memberangsangkan, Menteri Besar (Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) sudah menyatakan kesediaan untuk meneruskan pemberian insentif ini pada tahun hadapan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *