Sumber air: Pahang juga berhak dapat pampasan

Sumber air: Pahang juga berhak dapat pampasan

Tom Luqman
Fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Saranan Kementerian Alam Sekitar dan Air agar kerajaan Pulau Pinang menyumbang dalam bentuk kewangan kepada Kedah selepas kerajaan negeri itu berkorban untuk tidak meneroka kawasan tadahan air Ulu Muda di negeri itu adalah saranan yang baik.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata negeri yang berkorban menjaga kawasan hutan dan tadahan air perlu diberikan pampasan oleh negeri yang mendapat faedah secara langsung daripada pengorbanan negeri berjiran itu.
“Saya menyokong saranan dikemukakan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kerana adalah wajar negeri yang berkorban untuk tadahan air diberikan pampasan dalam bentuk kewangan,” katanya menerusi hantaran Facebook milik beliau, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berharap saranan yang dikemukakan oleh Tuan Ibrahim itu tidak hanya tertumpu di negeri Kedah sahaja, sebaliknya ia perlu menyeluruh melihatkan semua pihak dan negeri-negeri lain yang juga turut berkorban menjaga hutan demi kawasan tadahan air.
Sharkar yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata, negeri Pahang juga berkorban untuk kesejahteraan negeri-negeri jirannya apabila mewartakan 258,951 hektar hutan sebagai kawasan tadahan air setakat ini.
Menurutnya, aspek pemuliharaan hutan dan kawasan tadahan air sememangnya menjadi keutamaan kerajaan negeri, khususnya dalam memastikan jumlah hutan di Pahang yang setakat ini, 57 peratus melebihi keluasan tanah di negeri ini, terus berada di tahap tinggi.
“Itu komitmen dan keutamaan kerajaan Pahang yang komited menjaga kelestarian hutan yang mana tujuannya untuk kawasan tadahan air.
“Permintaan bekalan air semakin meningkat sejajar dengan pertambahan penduduk. Namun, sumber air mentah semakin berkurangan akibat pemusnahan kawasan tadahan air,” katanya.
Ini, katanya menyebabkan kuantiti air mentah berkurangan dan bagi negeri yang tidak menjaga hutan demi melaksanakan pembangunan, negeri-negeri yang berkorban menjaga hutan dan kawasan tadahan air yang menyumbang sumber air.
Sharkar berkata, jika disebut soal kemajuan, semua negeri mahu maju dengan melaksanakan aspek pembangunan termasuk melakukan penerokaan hutan, namun kerajaan Pahang sanggup berkorban untuk kepentingan sumber air kepada negeri lain.
Jadi, sewajarnya kerajaan negeri Pahang juga menerima pampasan sewajarnya daripada pengorbanan yang dibuat itu, kata beliau.
Menurutnya, jika diberi lampu hijau, kerajaan negeri Pahang akan membuat kajian terperinci berhubung jumlahnya dan sebagainya dan apa yang penting, saranan Kementerian Alam Sekitar dan Air itu dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak hanya dalam konteks negeri Kedah sahaja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *