Pesawah digalak ternak itik dan ikan

Pesawah digalak ternak itik dan ikan

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com 

PEKAN: Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan berusaha menggalakan pesawah untuk terbabit dengan projek ternakan itik dan ikan dalam sawah.

  Pengarahnya, Muhamad Khalil Idris berkata, projek diusahakan itu bertujuan menambahkan lagi pendapatan pesawah yang bergantung sepenuhnya pada hasil padi di samping untuk mengawal musuh dalam sawah.

  Menurutnya, menternak itik dan ikan dalam sawah dapat mengawal pembiakan siput gondang termasuk serangga yang mengancam pokok padi tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan membeli racun.

  Katanya, IADA Pekan sentiasa mengadakan kempen menternak itik dan ikan di sawah, malah bantuan juga disediakan untuk pesawah memulakan projek berkenaan. Kursus jangka pendek turut diberikan dengan kerjasama agensi berkaitan.

  “Kini terdapat lima pesawah di daerah ini terbabit dengan projek ternakan itik dan ikan dalam sawah dengan semua bantuan diberikan kepada mereka terbabit sepenuh masa sebagai pesawah.

 “Kita menyediakan bantuan anak itik telur sebanyak 500 ekor dan 1,000 benih ikan keli termasuk makanan peringkat awal selama dua hingga tiga bulan,” katanya selepas melawat projek ternakan itik  sawah di Kampung Bentan, di sini.

  Beliau berkata, kini terdapat dua pesawah menternak itik dan tiga mengusahakan projek ikan keli dan pihaknya menjangka lebih ramai pesawah terbabit dengan projek ekonomi berkenaan.

   Pesawah, Zamri Musa, 49, berkata peluang diberikan IADA Pekan membolehkan dia terbabit dengan projek ternakan itik telur bermula awal tahun ini.

  “Saya menerima bantuan 500 ekor itik telur dan hasil akan diraih awal tahun depan.  Makanan (itik) juga diberikan (IADA) selama dua bulan.

  “Saya tidak sabar untuk meraih hasil pertama tahun depan,” katanya yang menyediakan belanja makanan lebih RM2,000 sebulan.

Tamat/othman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *