Hutang bekalan air Pahang RM2.074 bilion dihapus kira

Hutang bekalan air Pahang RM2.074 bilion dihapus kira

Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar FHA

KUANTAN: Kerajaan negeri boleh menarik nafas lega apabila kerajaan pusat bersetuju menghapus kira hutang berkaitan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM2.074 bilion.
Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata ia susulan Perjanjian Penstrukturan Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang yang ditandatangani antara kerajaan negeri dan pusat hari ini.
“Perjanjian Penstrukturan Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang adalah pilihan terbaik yang harus diambil kerajaan negeri.
“Nilai lebih RM2 billion ini bukanlah kecil dan ia sudah tertangguh lama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sebelum Majlis Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Alam Sekitar, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan barisan EXCO kerajaan negeri.
Perjanjian itu ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar, Dato Sri IR Dr Zaini Ujang yang mewakili kerajaan pusat sementara kerajaan negeri diwakili Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak.
Mengikut perjanjian hapus kira itu, pinjaman bekalan air luar bandar berjumlah RM1 bilion dan novasi (pemindahan hutang) pinjaman kerajaan Pahang kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) berjumlah RM1.1 bilion.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, hapus kira pinjaman itu akan membantu Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) menuju ke arah penawaran perkhidmatan yang lebih baik dan efektif kepada pengguna di negeri ini.
“Saya boleh beri jaminan bahawa perkhidmatan selepas ini akan lebih baik… tapi perlulah bagi (beri) masa sedikit,” katanya.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, Pahang adalah negeri kelapan menandatangani Perjanjian Penstrukturan Industri Perkhidmatan Bekalan Air.
“Dengan perjanjian ini, pinjaman bekalan air kerajaan Pahang akan diambil alih oleh PAAB dan pembayaran akan distruktur semula untuk tempoh 45 tahun menerusi bayaran sewa pajakan yang akan dikenakan kepada PAIP (Pengurusan Air Pahang Bhd).
“PAIP akan diberikan moratorium bayaran sewa pajakan selama lima tahun untuk membolehkannya menyusun asas kewangan kukuh sebelum membayar sewa pajakan kepada PAAB,” katanya.
Menurutnya, PAAB akan membangunkan aset air di Pahang menerusi pendekatan bina dan pajak dengan kadar lebih kompetitif berbanding pembiayaan komersial.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *