Tindakan terhadap penceroboh akan dilaksanakan segera

Tindakan terhadap penceroboh akan dilaksanakan segera

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar Farizul Hafiz Awang

KUANTAN: Tindakan penguatkuasaan akan segera diambil terhadap pekebun Musang King di sekitar Raub yang menceroboh tanah kerajaan negeri.

  Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonan 204 pekebun durian Musang King terbabit untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang.

  Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata operasi penguatkuasaan akan diambil pada bila-bila masa kerana kerajaan negeri sudah memberikan masa mencukupi untuk membolehkan pekebun terbabit mengosongkan tanah yang diceroboh.

  “Kita akan teruskan tindakan penguatkuasaan kepada mereka (pekebun terbabit) yang menduduki tanah kerajaan (negeri) secara haram.

  “Kita dah bagi tempoh masa sangat-sangat mencukupi dan dalam mesyuarat EXCO tadi, kerajaan negeri bersetuju supaya tindakan penguatkuasaan diambil seberapa segera,” katanya.

  Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian-Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Pahang di sini, hari ini.

  Isu berkenaan menjadi bualan hangat selepas pekebun Musang King di Raub diberikan notis pengosongan kerana menceroboh tanah milik kerajaan negeri.

  Difahamkan, pencerobohan itu menyebabkan kerajaan negeri kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari dusun haram terbabit.

  Malah, pencerobohan oleh pekebun berkenaan turut membabitkan kawasan hutan simpan.

  Antara kawasan diceroboh ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.

  ada 1 Ogos lalu, kerajaan Pahang bertindak tegas dalam menangani kegiatan pencerobohan hutan di Raub dengan aktiviti penanaman pokok durian Musang King yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan negeri.

  Susulan tindakan itu, pekebun terbabit memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran menyemak notis pengosongan tanah yang ditanam pokok durian Musang King di sekitar Raub, kira-kira 170 kilometer dari sini, termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau yang dianggarkan seluas 2,167 hektar.

  Seramai 110 pekebun memfailkan permohonan itu pada 28 Ogos lalu manakala bakinya membuat permohonan serupa pada 9 September dengan menamakan Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai responden.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *