Pesara wanita dakwa rugi RM87,400 akibat kenalan media sosial

Pesara wanita dakwa rugi RM87,400 akibat kenalan media sosial

KUANTAN, 24 Dis — Hasrat pesara wanita warga emas membantu rakan yang hanya dikenali menerusi laman sosial membawa padah, selepas mendakwa kerugian RM87,400 akibat diperdayakan lelaki berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 60 tahun mendakwa, berkenalan dengan suspek yang kononnya menetap di Amerika Syarikat menerusi Facebook sekitar Oktober lepas.

“Mangsa mendakwa suspek ada memaklumkan akan menetap di Terengganu selama tiga tahun kerana memperoleh tender dengan sebuah syarikat minyak dan dijangka tiba ke negara ini sekitar November.

“Pada pertengahan November lalu, suspek menghubungi mangsa untuk meminjam wang sebanyak RM87,400 untuk bayaran kos kuarantin wajib suspek bersama lapan pekerjanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa bersetuju untuk meminjamkan wang itu dan telah melakukan lapan transaksi pemindahan wang dalam talian mulai 30 Nov hingga 18 Dis lalu ke akaun diberikan suspek.

Bagaimanapun, mangsa mulai curiga apabila mangsa memaklumkan dia memerlukan lagi wang sebanyak RM13,000 menyebabkan mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini, semalam.

Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan

Sumber BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *