Bismillah jadi azimat

Bismillah jadi azimat

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com.

JERANTUT: “Boleh dikatakan menjadi lumrah saya disengat lebah tualang setiap kali menghampir sarangnya untuk mengambil madu.

  “Setiap kali memanjat saya menerima dua hingga 10 sengatan pada beberapa bahagian badan kecuali kepala,” kata Hishamuddin Baharuddin, 46.

  Menurutnya, hanya satu sudu madu mampu menjadi penawar mujarab dapat mengurangkan kesan bisa serta rasa sakit sengatan lebah walaupun bengkak masih kelihatan di tempat kena sengat.

  Katanya, untuk menghalang lebah daripada terus menyerang sepanjang berada di atas pokok tualang, beliau menyapu madu pada pakaian dan dengan cara itu serangga berbisa itu seolah-olah tidak berminat menyerang.

  Menurutnya, sepanjang berada di atas pokok beliau perlu sentiasa berhati-hati kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku, di samping doa menjadi bekalan sepanjang melakukan aktiviti mencabar itu.

  “Saya mengambil masa antara satu hingga tiga jam berada di atas pokok setiap kali proses mengambil madu lebah dilakukan dan ia bergantung kepada jumlah sarang dan paling banyak 20 sarang pada satu pokok tualang.

  “Setiap sarang lebah terdapat antara 10 hingga 20 kilogram (kg) madu yang berada pada bahagian dipanggil ‘kepala air’ dan musim pokok di hutan berbunga mempengaruhi jumlah madu, warna, bau dan rasanya,” katanya yang berasal dari Kampung Ulu Cheka, dekat sini.

  Hishamuddin menambah, biasanya aktiviti mengambil madu lebah dilakukan bermula April hingga September sahaja kerana ketika itu kebanyakan pokok dalam hutan sedang berbunga dan menjadi makanan lebah.

  “Bagi memudahkan lagi proses masuk ke hutan, tugas memanjat pokok dilakukan pada waktu siang.

  “Saya tidak menggunakan jampi atau sebagainya untuk mengambil madu lebah sebaliknya hanya berdoa dan membaca ‘Bismillah’ ketika mula memanjat pokok dan sebelum memotong bahagian ‘kepala air’ yang menempatkan madu pada sarang lebah,” katanya yang sering mencari sarang lebah dalam hutan di daerah ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *