Kuantan bakal miliki pokok rasmi mulai tahun depan

Kuantan bakal miliki pokok rasmi mulai tahun depan

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com.my

KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) akan menanam semula spesies

pokok damar hitam siput daun besar atau nama saintifiknya Shorea kuantanensis yang dilaporkan pupus pada 2010.

  Pokok daripada kumpulan kayu keras sederhana itu direkodkan hanya ditemui di Hutan Simpan Bukit Goh, di sini, pada 1936 namun akibat pertukaran status gunatanah kawasan Hutan Simpan Bukit Goh kepada ladang sawit menyebabkan ia ditebang dan pupus.

  Timbalan Pengarah (Pembangunan) JPNP, Datuk Samsu Anuar Nawi berkata, pihaknya akan berusaha membiakkan semula Shorea kuantanensis di beberapa kawasan hutan terpilih di negeri ini bermula tahun depan.

  Justeru menurutnya, JPNP akan menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) yang kini terbabit dengan program pembiakan pokok berkenaan secara semulajadi menggunakan biji benih matang.

  Katanya, pokok damar hitam siput daun besar ditemukan semula pada 2014 di Taman Eko-Rimba Lata Tembakah yang terletak di Hutan Simpan Pelagat, Hulu Besut, Terengganu. Tiga pokok berkenaan berukuran lilit antara 28 hingga 76 sentimeter dan berumur antara 28 hingga 76 tahun.

  “Saya berharap usaha membawa pulang pokok berkenaan dan menanamnya di Pahang menjadi kenyataan melalui kerjasama JPNP dan JPNT memandangkan usaha terbabit penting dalam memastikan pokok damar hitam siput daun besar tidak terus pupus.

  “Dalam jangka masa panjang pokok berkenaan juga mempunyai permintaan yang tinggi selain harga yang memuaskan,” katanya, di sini.

  Beliau menambah, majlis menandatangani kerjasama dan penyerahan benih pokok damar hitam siput daun besar oleh JPNT kepada JPNP akan diadakan di sini, tidak lama lagi.

  Samsu Anuar berkata, peringkat pertama sebanyak 50 anak pokok damar hitam siput daun besar diberikan JPNT kepada JPNP dan difahamkan selepas ini lebih banyak anak pokok berkenaan akan dibekalkan.

  Tambahnya lagi, semua anak pokok itu ditempatkan di tapak semaian Pejabat Pembangunan Hutan JPNP Bukit Sekilau, di sini. Proses menanam akan dilakukan selepas penemuan kawasan sesuai.

  “Setiap kali musim berbuah

pokok damar hitam siput daun besar kita akan menghantar unit memanjat JPNP untuk mengambil buah matang dan selepas itu proses menyemai akan dilakukan di tapak semaian,” katanya.

  Difahamkan pokok damar hitam siput daun besar atau Shorea kuantanensis akan dijadikan pokok rasmi daerah ini mulai tahun depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *