Jalan kaki 320km demi kanak-kanak sakit kanser

Jalan kaki 320km demi kanak-kanak sakit kanser

Oleh Helmy Abd Rahman 

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: “Sepatutnya saya ke Arab Saudi bulan lalu untuk menjayakan kempen kesedaran dan mengumpul dana untuk kanak-kanak yag menghidap kanser.

  “Tapi rancangan itu terpaksa dibatalkan sebab COVID-19, jadi saya putuskan untuk jayakan kempen di Malaysia sahaja dengan berjalan kaki merentasi negara ini,” kata Muchlis Ilyas, 57, individu yang kini mengabadikan hidupnya untuk berbakti kepada masyarakat dengan membuat kerja amal.

  Bapa kepada empat anak berusia 16 hingga 31 tahun itu berkata, tahun lalu, dia merancang untuk berjalan kaki dari Makkah ke Madinah yang dijadualkan bulan lalu, namun terpaksa menangguhkan hasratnya berikutan penularan pandemik COVID-19.

  “Saya mula berlatih berjalan kaki sejauh 10 kilometer (km) sehari tapi malangnya terpaksa melupakan seketika rancangan ke sana akibat COVID-19 dan mungkin melakukannya pada 2022.

  “Tapi sebaik kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri, saya mengambil keputusan melakukan aktiviti jalan kaki merentas Semenanjung (Malaysia),” katanya yang berasal dari Jambi, Indonesia dan kini memegang status penduduk tetap di negara ini.     

  Menurutnya, fokusnya kini adalah untuk terus mengingatkan orang ramai mengenai kepayahan penghidap kanser dalam kalangan kanak-kanak dan membantu mengumpul dana untuk membantu mereka.

  Muchlis berjaya menamatkan perjalanan sejauh 320km apabila tiba di Taman Esplanade di sini jam 11.15 pagi tadi selepas melakukan perjalanan selama tujuh hari bermula di Desaru, Bandar Penawar, Johor.

  Uniknya, Muchlis berjalan dengan menarik troli yang diisi pelbagai barangan antaranya air minuman, biskut, ubatan dan khemah.

  Sebaik tiba, dia disambut ahli Kumpulan Ibu bapa dan Sokongan Anak-Anak Kanser (KIDS) serta beberapa individu dan kumpulan terdiri ibu bapa pesakit kanser. 

  “Saya bukan mewakili mana-mana NGO (badan bukan kerajaan) tetapi disebabkan kasihan dan tersentuh dengan penderitaan anak-anak kecil penghidap kanser mendorong saya mengambil keputusan melakukan kerja amal ini.

  “Ramai sangat yang turun dari kereta bila nampak saya berjalan kaki dan hulurkan makanan dan duit. Sebenarnya saya tak nak ambil duit, tetapi mereka paksa.

  “Nanti saya berikan dekat NGO itu nanti. Ini pun sudah ada lebih RM300,” katanya diselangi ketawa kecil.

  Menurut Muchlis lagi, dia tidak menginap di hotel atau rumah tumpangan, sebaliknya membawa khemah dan beg tidur. 

  Ditanya pengalamannya sepanjang menjalankan misi berkenaan, dia berkata, tidak banyak cabaran sukar ditempuhinya.

  “Namun ada juga terserempak ular dan kucing liar, selain itu, tak ada cabaran sangat,” ujarnya yang kini menetap di Kampung Dato’ Keramat, Kuala Lumpur.

  Muchlis berkata, dia bercadang meneruskan misi berjalan dari Kelantan ke Terengganu pada Mac (2021) diikuti Kedah ke Perak (Jun) dan Melaka ke Johor (November).

  Bagi yang ingn mengikuti perkembangan misi Muchlis boleh melayari laman Facebook  Walk4CancerKids Malaysia.

#jalankaki #kanser

Ends/othman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *