Seramai 79 Orang Asli Cameron Highlands peluk Islam tahun ini

Seramai 79 Orang Asli Cameron Highlands peluk Islam tahun ini

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com.my

CAMERON HIGHLANDS: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cameron Highlands mengislamkan seramai 86 individu termasuk 79 masyarakat Orang Asli sepanjang tahun ini berbanding 118 tahun lalu.

  Pengurus MUIP Cawangan Cameron Highlands, Hazwan Hafiz Abdul Jalil berkata, kini ada seramai 3,470 saudara baharu membabitkan 833 keluarga di daerah ini yang menetap di 27 kampung tradisional dan penempatan semula.

  Menurutnya, secara keseluruhan, seramai 8,301 penduduk Orang Asli suku kaum Semai mendiami daerah ini membabitkan 1,929 keluarga. Mereka melakukan pelbagai aktiviti terutama dalam sektor pertanian dan pelancongan.

  Katanya, hampir separuh masyarakat Orang Asli di daerah ini sudah memeluk agama Islam secara sukarela selain mengikut ahli keluarga serta rakan sekampung.

  “Penerimaan masyarakat Orang Asli suku kaum Semai di daerah ini terhadap agama Islam sangat baik. Mereka mendapat didikan daripada guru agama MUIP Cameron Highlands dan Pejabat Agama Islam Daerah.

  “MUIP Cameron Highlands kini mempunyai 14 individu bertugas sebagai Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Asli (PePIMA) terdiri daripada Orang Asli dibantu tiga Pegawai Penggerak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 

dalam menyampaikan risalah dakwah selain turut mengadakan kelas fardu ain,” katanya, di sini.

  Beliau menambah, selain diadakan di pejabat MUIP Cameron Highlands, majlis mengislamkan masyarakat Orang Asli turut dijalankan di kampung mereka secara beramai-ramai antara lima hingga 10 individu.

  Hazwan Hafiz berkata, MUIP dan Pejabat Agama Islam Daerah sentiasa berusaha menyantuni dan merancakkan penyebaran syiar islam di perkampungan dan penempatan baharu Orang Asli di daerah dalam memastikan golongan terbabit berada di landasan sebenar.

  “Aktiviti dakwah dan kelas agama diadakan secara berterusan bagi memastikan saudara baharu itu dapat terus mengamalkan cara hidup Islam dan paling penting sekali melakukan tuntutan agama seperti solat dan puasa serta meninggalkan perkara yang dilarang agama.

  “Saya dari semasa ke semasa akan melawat kampung mereka bagi melihat dan mendengar masalah dihadapi terutama membabitkan pendidikan agama,” katanya yang berharap lebih ramai Orang Asli di daerah ini memeluk Islam tahun depan.

Tamat/othman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *