Kerusi Parlimen Kuantan untuk UMNO

Kerusi Parlimen Kuantan untuk UMNO

Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: UMNO Bahagian Kuantan menuntut untuk bertanding kerusi Parlimen Kuantan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti selepas memberi laluan kepada MCA pada PRU-14.
Ketuanya, Datuk Seri Ab Hamid Nazahar, berkata hasrat itu disuarakan akar umbi dan beliau berharap ia dapat dipertimbangkan dan diputuskan segera pucuk pimpinan parti.
Katanya, ini bagi megelakkan timbulnya masalah seandainya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.
“Sebelum ini UMNO Kuantan sudah berkorban apabila memberi laluan kepada MCA pada PRU-14 yang lalu. Kali ini, kita sudah bersedia (bertanding) di kerusi Parlimen Kuantan.
“Kita berharap pucuk pimpinan (UMNO) dapat mendengar dan mempertimbangkan suara akar umbi yang ingin melihat suasana politik matang sejak wujudnya Muafakat Nasional dan kemudiannya Perikatan Nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kuantan, di sini, hari ini.
Menyentuh tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kuantan, beliau berkata, perkara itu sudah diselesaikan.
“Tdak ada masalah berbangkit berhubung hal itu dan kita tetap dengan pembahagian seperti dipersetujui sebelum ini,” katanya.
“Untuk rekod, DUN Inderapura ditandingi calon UMNO, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif; DUN Teruntum, Tee Choon Ser (MCA) dan DUN Tanjung Lumpur ditandingi Datuk Seri Tengku Zulkifli Tengku Ahmad pada PRU-14.
Bagaimanapun, berikutan penubuhan Muafakat Nasional tahun lalu, UMNO Kuantan memutuskan untuk memberi laluan kepada PAS bagi kerusi DUN Tanjung Lumpur yang kini disandang Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar.
Dalam perkembangan berasingan, Abd Hamid berkata, UMNO Kuantan berharap kerajaan Persekutuan memberi pertimbangan semula tuntutan royalti minyak seperti yang pernah diumumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2012.
“Perkara ini wajar dan realistik kerana Pahang juga mempunyai hak terhadap penemuan telaga minyak yang berada dalam kawasan perairan di negeri ini dan pengagihan royalti ini nanti tentunya dapat membantu kerajaan Pahang melaksanakan pelbagai projek bermanfaat kepada rakyat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *